
KUALA LUMPUR, 26 Ogos 25 – Jaminan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming kononnya nilai pampasan kepada pemilik terbabit dalam projek pembaharuan kediaman di bawah Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (URA) akan jauh atasi nilai pasaran semasa tidak memberi sebarang makna.
Peguam Rafique Rashid berkata, ini kerana, jaminan mulut tanpa sebarang bukti bertulis tidak memberi sebarang makna.
“Kata-kata seorang menteri bukan undang-undang. Tidak boleh pakai dalam mahkamah kalau pemilik yang tidak puas hati tentang pampasan hendak ke mahkamah,” katanya, dalam satu kenyataan
Ketua penerangan Pejuang itu menegaskan, URA juga tidak mempunyai mekanisme ke mahkamah sekiranya tanah atau kediaman rakyat diambil kerajaan, seperti mana di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960.
“Kalau tidak puas hati dengan pampasan, ada peruntukan untuk failkan kes atau permohonan ke mahkamah.
“Dibawah RUU URA tiada perkara itu,” katanya.
Malah, Rafique mendakwa terdapat banyak perkara menimbulkan persoalan di bawah RUU URA tersebut dan mengancam kehidupan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah.
Jelasnya, rakyat perlu peka tentang RUU URA kerana ia bukan hanya lawan politik tetapi untuk menghalang penindasan sistematik oleh orang-orang kaya( pemaju) terhadap rakyat.
Beliau mendakwa, pihak yang betul-betul untung dan sedang menunggu laba adalah pemaju-pemaju.
“Hampir 139 kawasan di Lembah Klang saja telah dijadikan target mereka. Ini wang besar habuan mega bagi mereka.
“Wakil rakyat dari kedua belah Dewan ada tugas untuk pertahan rakyat. Ini tidak bermaksud rakyat mesti derita atau miskin atau tidak mahu pemodenan.
“Ini adalah hak rakyat untuk pertahan milik mereka dan kalau mahu apa milik rakyat mesti dibayar pampasan mencukupi,” tegasnya lagi.
RUU Pembaharuan Semula Bandar telah menimbulkan bantahan pelbagai pihak sejak ia mula dicadangkan. RUU tersebut dibaca buat kali pertama minggu lalu dan akan melalui proses bacaan kedua dan ketiga, seterusnya diluluskan minggu ini.
Pelbagai pihak telah menyuarakan bantahan mereka, hari ini kumpulan Organisasi Sivil (CSO) dan persatuan penduduk menggesa kerajaan menarik balik Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU-URA) yang telah dibentangkan minggu lalu di dewan rakyat. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.