Pengharaman Vape: Bersatu Desak Kerajaan Bertindak Segera Melalui Bajet 2026

KUALA LUMPUR, 27 Ogos 25 – Ahli Parlimen Bersatu kawasan Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan hari ini menggesa kerajaan mengambil langkah segera dalam mengawal penggunaan vape di negara ini tanpa terlalu bergantung kepada isu pengharaman semata-mata.

Beliau berkata, kerajaan tidak seharusnya menjadikan kebimbangan terhadap tindakan undang-undang sebagai alasan untuk tidak berbuat apa-apa, sebaliknya melaksanakan langkah-langkah kawalan yang boleh dikuatkuasakan segera menerusi Bajet 2026.

“Kalau tak mampu haramkan, masih banyak langkah lain yang boleh diambil serta merta untuk kawal penggunaannya. Jangan hanya obses dengan isu haram,” katanya ketika membahaskan Penyata Jawatankuasa Pilihan Kesihatan mengenai penggunaan vape di Dewan Rakyat.

Antara langkah yang dicadangkan beliau ialah antaranya dengan menaikkan kadar cukai vape setara dengan rokok berdasarkan kandungan nikotin bermula Bajet 2026 serta melaksanakan kenaikan cukai vape dan rokok secara berkala setiap dua tahun.

“Cukai vape hanya 1.9 peratus daripada jumlah cukai rokok. Jurang ini terlalu besar dan membuktikan kenaikan cukai vape mesti disegerakan,” katanya.

Wan Saiful turut membangkitkan perbandingan hasil cukai antara vape dan rokok sejak 2021 hingga Julai 2025, dengan jumlah kutipan cukai rokok sebanyak RM15.02 bilion berbanding hanya RM288.45 juta daripada vape.

Tambah beliau, kerajaan juga boleh menetapkan harga minimum vape sekurang-kurangnya RM12 selain memperkukuh penguatkuasaan Akta 852 berhubung produk tidak berdaftar, promosi terbuka dan penjualan kepada bawah umur.

Dalam menyentuh isu penyeludupan, Wan Saiful memastikan pencegahan penyeludupan dapat ditangani dengan cekap.

“Jangan biar vape jadi macam rokok yang mana pasaran gelap sekarang melebihi 50 peratus. Hidupkan semula Multi Agency Task Force yang pernah berfungsi sebelum ini dan bagi kuasa sepenuhnya untuk mereka bertugas.

“Saya melihat kerajaan seperti hilang arah dalam isu pengawalan vape ini. Kerajaan terlalu obses dengan pengharaman, sehingga tak sedar bahawa kalau tak boleh haram sekarang pun, ada banyak tindakan lain yang boleh dilakukan untuk langkah segera.

“Kalau tiada tindakan, trend ini akan terus meningkat. Jangan tunggu pengharaman total. Tindakan segera boleh dibuat sekarang dengan syarat ada keberanian politik,” tegas Wan Saiful.

KKM difahamkan sedang ke arah pengharaman penuh penggunaan dan penjualan vape, namun masih dalam peringkat kajian mendalam untuk memastikan keberkesanan dan kesesuaiannya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share