
KUALA LUMPUR, 27 Ogos 25 – Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata Selangor adalah antara negeri yang memerlukan kelulusan terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA).
Banyak kawasan di negeri itu katanya berusia lebih 70 tahun dan sekiranya URA diluluskan dan dikuatkuasakan ia dijangka mampu memberikan nafas baharu khususnya kepada kawasan bandar yang dikenal pasti sebagai uzur dan usang.
“Kalau (diluluskan) ia akan memberikan ruang untuk kita membangunkan semula beberapa kawasan yang uzur seperti di Ampang, Gombak, Hulu Langat, cuma kita perlu teliti balik beberapa tentangan melibatkan akta (RUU) berkenaan.
“Saya percaya URA ini diperlukan oleh mana-mana pentadbir dan pemerintah kerana kalau tidak, kita akan membiarkan kawasan itu terus susah tanpa dibangunkan semula,” katanya memetik laporan malaysiakini.
Amiruddin berkata URA menjadi keperluan penting bagi memastikan kawasan terbiar di negeri itu dapat dibangunkan semula dengan efektif.
Tambahnya, Selangor adalah antara negeri yang menghadapi cabaran pembangunan semula kawasan bandar yang usang dan uzur.
“Ada sebahagian kawasan perumahan sudah berusia 70, 80 tahun, kita perlu bangunkan semula” katanya.
Namun, beliau mengingatkan agar sebarang isu yang dibangkitkan berkaitan RUU itu diberi perhatian sewajarnya.
Pada 19 Ogos lepas, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata bacaan kedua dan ketiga RUU berkenaan dijadualkan hari ini sekali gus menandakan hala tuju baharu dalam memastikan pembangunan bandar di Malaysia kekal mampan, maju, makmur dan inklusif. @sumber
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.