
KUALA LUMPUR, 28 Ogos 25 — Rang Undang-Undang Urban Renewal Authority (URA) yang dijadual dibentang untuk bacaan kedua serta dibahaskan dalam sidang Dewan Rakyat minggu ini ditangguhkan ke sesi Parlimen akan datang.
Penangguhan itu dimaklumkan selepas beberapa Ahli Parlimen termasuk daripada blok pembangkang dan juga wakil kerajaan sendiri bertindak keluar dewan dan menyuarakan kebimbangan berhubung implikasi besar RUU berkenaan terhadap pemilikan tanah, hak penduduk bandar serta kuasa kerajaan negeri.
RUU URA pada asasnya bertujuan mewujudkan sebuah badan berkanun baharu bagi mengurus proses pembaharuan bandar. Namun cadangan itu dikritik sebagai membuka ruang kepada ‘pengambilan paksa’ kawasan penempatan lama, selain menimbulkan risiko campur tangan berlebihan kerajaan pusat dalam bidang kuasa negeri.
Dalam masa sama, Ketua Pembangkang dan Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional menegaskan mereka tidak akan menyokong RUU ini selagi jaminan mengenai hak tanah dan kepentingan rakyat tidak diperjelaskan secara menyeluruh.
Dengan penangguhan ini, RUU URA dijangka dibawa semula dalam sidang Parlimen akan datang selepas penelitian lanjut dibuat oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.