Wan Ahmad Fayhsal: “Isu Rafflesia Bukan Nama, Tapi Soal Penyahjajahan Ilmu”

KUALA LUMPUR, 1 Sep 25 – Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, tampil mempertahankan cadangannya yang mencetuskan kontroversi berhubung bunga Rafflesia dengan menegaskan isu sebenar bukan sekadar soal nama, tetapi usaha lebih besar iaitu “menyahjajah ilmu” atau decolonisation of knowledge.

Dalam ucapan panjang sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-68, beliau menyindir pihak yang memperlekehkan cadangannya sebagai tidak memahami wacana lebih mendalam mengenai bagaimana kolonialisme Barat telah meninggalkan jejak dalam bidang ilmu, termasuk botani dan sains sosial.

“Ini bukan pasal bunga. Ini soal usaha kita mengembalikan maruah bangsa, sejarah dan warisan kita daripada pemikiran kongkongan penjajah Barat,” katanya.

Wan Ahmad Fayhsal turut merujuk karya pemikir Islam, Tan Sri Profesor Diraja Syed Muhammad Naquib al-Attas, yang menekankan keperluan mengislamkan ilmu kontemporari.

Katanya, wacana ini bukan baharu, malah dibahaskan di peringkat antarabangsa oleh sarjana dan saintis yang menolak dominasi Barat dalam dunia akademik.

Beliau menegaskan, ramai anak muda kini terperangkap dengan “minda tertawan” seperti digariskan Profesor Syed Husin Al-Attas, kerana masih menerima bulat-bulat teori dan taksonomi peninggalan kolonial.

Kontroversi “Rafflesia” ini, katanya, hanyalah pintu masuk kepada agenda yang lebih besar: menilai semula khazanah manuskrip Melayu-Islam, ilmu tradisi dan warisan sains tempatan yang menurutnya dipinggirkan selepas penjajahan.

Baru-baru ini, beberapa pengkritik menganggap pandangan Wan Fayhsal sekadar retorik nasionalisme baharu yang cuba dibangkitkan menjelang ulang tahun kemerdekaan, namun beliau menggesa agar melihatnya sebagai usaha intelektual menyegarkan semula perbahasan dekolonisasi ilmu. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share