MKN Sahkan Ancaman Keselamatan, Petronas Tegaskan Operasi LNG Bintulu Kekal Stabil

KUALA LUMPUR, 9 Sep 25 – Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengesahkan terdapat ancaman keselamatan yang menyasarkan kemudahan gas asli cecair (LNG) di Bintulu, Sarawak, sekali gus mendorong kerajaan memperketat kawalan di fasiliti berkenaan.

MKN dalam kenyataan memaklumkan langkah itu penting bagi memberi ruang kepada siasatan dan tindakan lanjut oleh agensi keselamatan. Orang awam juga dinasihatkan supaya tidak membuat atau menyebarkan spekulasi berhubung isu tersebut.

“Agensi keselamatan berada dalam keadaan siap siaga bagi memastikan keselamatan fasiliti strategik negara,” menurut kenyataan itu, sambil menambah perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Sementara itu, Petronas menegaskan operasi di Kompleks LNG Bintulu berjalan seperti biasa tanpa sebarang gangguan. Syarikat minyak negara itu juga mengesahkan bekalan LNG ke pasaran tempatan dan antarabangsa kekal stabil.

“Petronas memberi jaminan bahawa keselamatan pekerja, kontraktor dan komuniti sekitar terus menjadi keutamaan. Kami bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa untuk menilai dan menangani situasi ini,” kata jurucakapnya.

Kompleks LNG Bintulu, yang merupakan antara fasiliti pengeluaran LNG terbesar di dunia, memainkan peranan penting sebagai hab tenaga negara. Sebarang gangguan terhadap operasinya boleh memberi kesan langsung kepada ekonomi domestik serta pasaran tenaga global. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share