
KUALA LUMPUR, 9 Sep 25 – Parlimen Perancis semalam meluluskan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri François Bayrou, sekali gus menumbangkan kerajaan yang hanya bertahan sembilan bulan.
Menurut laporan Reuters, undi itu menyaksikan 364 ahli Parlimen menolak kerajaan Bayrou berbanding 194 yang menyokong, menandakan kejatuhan parlimen ketiga sejak 1958.
Bayrou dijangka menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Presiden Emmanuel Macron hari ini, meletakkan Macron dalam kedudukan untuk melantik perdana menteri kelima dalam tempoh kurang dua tahun.
Kejatuhan kerajaan Bayrou berpunca daripada kegagalannya mendapatkan sokongan terhadap belanjawan penjimatan (austeriti) yang dirangka bagi mengurangkan defisit awam hampir dua kali ganda daripada had 3 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang ditetapkan Kesatuan Eropah. Perancis kini menanggung hutang awam sekitar 114 peratus KDNK.
Dalam ucapan terakhirnya sebelum pengundian, Bayrou memberi amaran bahawa walaupun kerajaan boleh dijatuhkan, “realiti defisit dan beban hutang akan terus membesar dan menjadi semakin kejam.”
Reuters melaporkan, kegagalan ini menimbulkan kebimbangan pasaran serta risiko penurunan penarafan kredit negara. Sementara itu, Macron berdepan tekanan sama ada membentuk kerajaan stabil atau memanggil pilihan raya awal bagi mencari mandat baharu. @sumber
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.