Politik Identiti Tak Semestinya Buruk, Persoalan Sebenarnya Bagaimana Ia Digunakan

KUALA LUMPUR | 22 Sep 26 – Politik identiti tidak semestinya membawa konotasi negatif, sebaliknya ia merupakan sebahagian daripada realiti politik Malaysia yang terbentuk daripada kepelbagaian etnik, agama, kaum dan identiti tempatan.

Pandangan itu diketengahkan penganalisis politik Prof Dr Bridget Welsh yang menyifatkan identiti sebagai satu “payung besar” yang merangkumi pelbagai unsur termasuk etnik, kaum, agama serta identiti negeri dan tempatan.

Menurutnya, politik identiti berkait rapat dengan emosi, komuniti serta cara seseorang melihat dan mentafsir identiti dirinya.

“Dalam politik identiti, kita melihat penggunaan alat, mesej dan simbol tertentu untuk mengangkat atau mengukuhkan kategori identiti yang luas ini,” katanya ketika menjadi panelis dalam forum politiko, Ahad lalu.

Beliau berkata, Malaysia pula mempunyai pelbagai bentuk politik identiti yang digunakan dalam konteks berbeza, termasuk identiti Melayu, Cina, Bugis serta identiti masyarakat di Sabah dan Sarawak.

Sementara itu, Naib Presiden Wawasan Negara yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berpandangan bahawa kecenderungan untuk menggambarkan politik identiti sebagai sesuatu yang buruk perlu dipersoalkan.

Katanya, identiti merupakan sesuatu yang semula jadi kepada manusia, termasuk kecenderungan untuk mempertahankan dan memperjuangkan identiti masing-masing dalam ruang politik.

“Secara peribadi, saya tidak melihat ada sesuatu yang terlalu negatif mengenainya. Saya fikir identiti itu adalah sesuatu yang semula jadi.

“Adalah sesuatu yang normal bagi seseorang mempunyai identiti tertentu dan mahu mempertahankan serta memperjuangkan identiti tersebut,” katanya dalam forum yang bertajuk “Identity Politics or Performence Politics – What Really Determines How Malaysians Vote” anjuran politiko.

Menurut Wan Saiful, persoalan mengenai keperluan menggantikan politik identiti dengan politik berasaskan prestasi atau ideologi juga tidak semestinya menyelesaikan masalah.

Katanya, politik berasaskan ideologi sendiri boleh membawa kepada pertembungan, namun ia tidak secara automatik dianggap berbahaya seperti mana politik identiti sering digambarkan.

Beliau berpandangan, perdebatan mengenai politik identiti perlu dilihat dalam konteks realiti Malaysia yang sememangnya dibentuk oleh kepelbagaian identiti.

“Realitinya di Malaysia, politik identiti adalah sebahagian daripada bagaimana negara ini dibentuk dan dibangunkan,” katanya.

Pandangan kedua-dua tokoh itu menunjukkan bahawa persoalan utama bukan semata-mata sama ada politik identiti perlu wujud atau ditolak, tetapi bagaimana identiti digunakan dalam persaingan politik dan bagaimana mesej berkaitan identiti dibentuk kepada masyarakat.

Dalam konteks Malaysia yang mempunyai masyarakat majmuk serta identiti negeri dan tempatan yang kuat, politik identiti kekal menjadi salah satu unsur yang sukar dipisahkan daripada dinamika politik negara. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share