
PUTRAJAYA, 9 Sep 25 – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan siasatan terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, masih diteruskan dengan tumpuan kini diberikan kepada aset yang dipercayai berada di United Kingdom (UK).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata pihaknya sedang menunggu maklumat terperinci daripada pihak berkuasa di UK bagi melengkapkan siasatan.
“Kita perlu mendapatkan dokumen dan data daripada luar negara. Siasatan terhadap aset beliau masih berjalan dan fokus ketika ini adalah di UK,” katanya.
Isu ini menarik perhatian selepas SPRM sebelum ini mengeluarkan arahan pengisytiharan harta terhadap anak-anak Dr Mahathir serta beberapa individu lain. Pada Januari lalu, media melaporkan bahawa aset yang diisytiharkan oleh dua anak beliau dianggarkan bernilai lebih RM1.2 bilion.
Azam menegaskan, siasatan SPRM melibatkan kerjasama rentas negara, khususnya bagi aset luar negara yang dimiliki tokoh politik berprofil tinggi.
Januari lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan berpuas hati dengan pengisytiharan harta yang dibuat oleh dua anak Tun Dr Mahathir Mohamad kepada agensi anti rasuah itu. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.