
KUALA LUMPUR, 10 Sept 2025 – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelaskan bahawa semakan tapisan keutuhan terhadap calon atau pemimpin syarikat berkaitan kerajaan (GLC) hanya meneliti rekod rasuah yang masih aktif, dan tidak boleh dijadikan jaminan penuh bahawa individu terbabit bersih daripada salah laku.
SPRM berkata semakan tersebut digunakan sebagai panduan awal, manakala rekod sabitan lampau tetap kekal dalam pangkalan data mereka. Justeru, pihak berkepentingan masih perlu membuat penilaian menyeluruh sebelum melantik seseorang ke jawatan penting.
Penjelasan itu dibuat susulan kontroversi melibatkan Pemangku Pengerusi Halal Development Corporation (HDC), Azhari Shaari, yang meskipun lulus tapisan SPRM pada 2024, mempunyai rekod sabitan pemalsuan dokumen pada 2023.
Azhari, yang juga Ketua UMNO Shah Alam, ketika itu didenda RM1,900 dan melucut hak RM220,000 selepas mengaku bersalah terhadap satu pertuduhan. Lima lagi pertuduhan penyelewengan dan pemalsuan dokumen ditarik balik.
SPRM menegaskan, walaupun nama Azhari tidak muncul dalam semakan rekod rasuah aktif, kes lampau beliau masih tercatat dalam sistem agensi tersebut.
Perkara ini mencetuskan semula persoalan mengenai ketelusan proses pelantikan dalam GLC, serta sejauh mana semakan integriti sedia ada mampu memastikan hanya individu berwibawa diberikan amanah memimpin institusi awam.
Terdahulu, Ahli Parlimen PAS Ahmad Fadhli Shaari mempersoalkan tapisan keutuhan digunakan Halal Development Corp (HDC) yang mengatakan Pemangku Pengerusi Datuk Azhari Shaari bebas kesalahan rasuah. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.