
PARLIMEN | 24 Feb 26 — Empat Ahli Parlimen daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini menggesa kerajaan Madani supaya menggantung serta-merta semua langkah dan proses ratifikasi Anwar-Trump (Agreement on Reciprocal Trade [ART]) antara Malaysia dan Amerika Syarikat.
Gesaan itu dibuat susulan keputusan Mahkamah Agung Amerika Syarikat baru-baru ini yang mendapati tarif import yang diperkenalkan oleh Presiden Donald Trump adalah tidak sah dari segi undang-undang, sekaligus menimbulkan persoalan tentang kesahihan asas perjanjian perdagangan yang dirunding dan ditandatangani antara kedua negara.
Dalam kenyataan bersama, Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli; Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad; dan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung, mereka menyifatkan keputusan mahkamah itu memberi implikasi langsung terhadap status perjanjian ART.
“Kami menggesa kerajaan menjelaskan bahawa semua tindakan pelaksanaan ART perlu dihentikan sehingga kedudukan undang-undang tarif baharu tersebut jelas dan stabil,” tegas mereka ketika sidang media di Parlimen.
Mereka juga mendesak kerajaan mendedahkan secara terbuka semua langkah dan proses yang dirancang untuk ratifikasi ART supaya Ahli Parlimen dan rakyat dapat memahami sepenuhnya implikasi perjanjian perdagangan itu terhadap kepentingan nasional serta kedaulatan undang-undang negara.
Terdahulu, lima Ahli Parlimen dari Perikatan Nasional (PN) memutuskan untuk mempertimbangkan semula aspek perlembagaan berkaitan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat, susulan perkembangan dasar perdagangan global yang kini dalam sorotan, menurut laporan tempatan.
Ahli Parlimen terbabit berkata semakan itu penting untuk memastikan bahawa tindakan Malaysia selaras dengan Perlembagaan Persekutuan serta memperjelas kedudukan undang-undang negara dalam hubungan perdagangan dua hala yang semakin rumit. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.