Pemaju Guna Taktik Kelirukan Penduduk Guna Borang Tinjauan – Presiden Pejuang

KUALA LUMPUR, 11 Sep 25 – Pemaju projek pembangunan semula bandar (PSB) didakwa menggunakan taktik mengelirukan dengan menyebarkan borang tinjauan sebagai cara mendapatkan persetujuan penduduk, meskipun Rang Undang-undang (RUU) PSB masih belum diluluskan di Parlimen.

Pendedahan itu dibuat Presiden Parti Pejuang, Mukhriz Mahathir, selepas menerima aduan daripada kumpulan penduduk bandar raya di bawah gabungan KL Residents Action for Sustainable Development (KLRA+SD) dalam satu dialog di ibu negara, semalam.

Menurut Mukhriz, borang tersebut meminta penduduk menandatangani dan mengisi nombor kad pengenalan, dengan ayat tambahan yang disembunyikan pada bahagian bawah.

“Penduduk fikir mereka hanya menyatakan pilihan untuk kemudahan seperti surau atau kawasan riadah, tetapi sebenarnya tandatangan itu digunakan sebagai persetujuan projek. Ini jelas penipuan,” katanya.

Mukhriz menegaskan tindakan itu hanya menguntungkan pemaju tetapi menindas hak pemilik rumah yang terkesan. Justeru, beliau menyeru kerajaan menolak RUU PSB sepenuhnya sekiranya tidak diperkemas bagi melindungi kepentingan penduduk.

RUU PSB sebelum ini mendapat kritikan meluas kerana didakwa memberi kuasa besar kepada pemaju untuk melaksanakan projek pembangunan semula tanpa proses rundingan awam yang telus. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share