
KUALA LUMPUR | 11 Mac 26 – Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menegaskan kepentingan tindakan segera, telus, dan adil oleh pihak berkuasa bagi menangani ketegangan dan pertelingkahan yang melibatkan beberapa pertubuhan dan individu beragama Hindu dengan sosok tertentu dalam kalangan masyarakat Islam kebelakangan ini.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata isu berkaitan agama dan identiti kaum perlu ditangani dengan kebijaksanaan, sikap tenang, serta kepekaan terhadap sifat majmuk masyarakat Malaysia.
Menurut beliau, sensitiviti berkaitan agama, sejarah, dan tempat ibadat adalah amat dekat dengan setiap komuniti, justeru sebarang isu perlu diselesaikan secara berhemah dan matang tanpa provokasi atau tindakan melampau daripada mana-mana pihak.
“Percubaan untuk membingkaikannya dengan cara yang menyuburkan syak wasangka, kebencian, dan permusuhan antara komuniti atau kumpulan adalah perbuatan yang sangat tidak bertanggungjawab dan mesti ditolak semua pihak,” kata Takiyuddin.
PAS juga menekankan peranan penting pihak berkuasa dalam menguruskan ketegangan dengan kadar segera, termasuk menerangkan isu dengan jelas, menguatkuasakan undang-undang secara adil, dan menjalankan komunikasi krisis yang tepat untuk mengelakkan salah faham, spekulasi, dan peningkatan ketegangan.
Beliau menggesa semua pihak – termasuk pemimpin, pertubuhan, dan platform media – agar bertindak lebih matang dan bertanggungjawab ketika mengulas atau melaporkan isu sensitif seperti ini.
“Pada masa-masa seperti sekarang, Malaysia sangat memerlukan suara yang menenteramkan keadaan, bukan yang memarakkan ketegangan. PAS akan terus komited kepada usaha memelihara keharmonian dan perpaduan rakyat pelbagai latar belakang kepercayaan dan budaya, serta kekal menjunjung hak dan kehormatan semua seperti yang dijamin oleh Perlembagaan negara,” tambah beliau.
Kenyataan ini dibuat selepas insiden serangan bakar kereta aktivis, Cikgu Chandra dan serangan ke atas pendakwah Zamri Vinoth baru-baru ini. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.