
KUALA LUMPUR, 12 Sept 2025 – Ketua Bahagian Bersatu Pendang, Abdul Razak Khamis, memberi amaran kepada Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz, agar tidak mengeluarkan kenyataan peribadi yang boleh mencetuskan perpecahan dalam parti serta menjejaskan hubungan dengan rakan komponen Perikatan Nasional (PN).
Dalam kenyataan media hari ini, Abdul Razak menyifatkan beberapa komen Tun Faisal sebelum ini sebagai tidak wajar dan berpotensi melukakan hati rakan sekutu, khususnya PAS.
“Saya harap rakan-rakan komponen PN, terutama PAS, tidak berkecil hati kerana bagi saya semua komen itu adalah pandangan peribadi Tun Faisal sahaja,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa usul yang dibawa oleh Tun Faisal dalam Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu baru-baru ini tidak pernah dibincangkan dalam mana-mana mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi parti.
Menurut Abdul Razak, komen-komen berbentuk ugutan yang dibuat Tun Faisal terhadap ahli parti lain juga tidak membantu dalam memperkukuh Bersatu.
“Dokonglah nasihat dan arahan Presiden dan Timbalan Presiden agar kita bertaut dan bermaafan. Jangan juga kerana mulut kamu seorang yang celupar, rakan-rakan komponen menganggap Bersatu sudah bongkak dan takbur,” ujarnya.
Abdul Razak turut mengingatkan Tun Faisal bahawa jawatannya dalam parti adalah lantikan, bukan hasil perjuangan sejak awal penubuhan Bersatu.
“Ingatlah, jawatan yang kamu pegang ini hanyalah lantikan. Kamu tidak sehebat yang kamu rasa. Jaga sikit mulut kamu sebab kami yang membina parti ini. Kamu itu terlalu mentah dalam Bersatu,” katanya.
Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu 2025 yang berlangsung minggu lalu menyaksikan beberapa insiden ketegangan, termasuk perbalahan kecil ketika sesi perasmian. Antara isu yang menjadi perhatian ialah usul mencalonkan semula Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri ke-11, yang dikritik oleh sesetengah pihak kerana dianggap mengabaikan isu-isu rakyat.
Tun Faisal, yang baru menyertai Bersatu selepas meninggalkan UMNO, turut membawa usul yang dikatakan mencetuskan perdebatan dalaman kerana tidak melalui proses perbincangan rasmi MPT. Situasi ini menambahkan lagi gambaran wujudnya perbezaan pandangan dalam kalangan pemimpin Bersatu mengenai hala tuju parti dan hubungan dengan rakan komponen PN. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.