
KUALA LUMPUR, 12 Sep 25 – Isu membabitkan kos sara hidup dan ekonomi rakyat lebih mustahak diangkat ke Muktamar PAS ke-71 berbanding calon perdana menteri.
Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin berkata, berbeza seperti Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu, tumpuan muktamar adalah solusi praktikal untuk rakyat menangani isu tersebut.
“Kita berada dalam fasa di mana rakyat berdepan dengan pelbagai cabaran ekonomi.
Justeru, perbahasan nanti untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik bagi meringankan beban rakyat,” katanya, memetik laporan MalaysiaGazette.
PAS katanya lebih berminat untuk membuktikan keupayaannya dalam pentadbiran dan menangani masalah rakyat berbanding terlibat dalam isu lain.
“Kita kena cari jalan untuk mengurangkan beban rakyat. Kerajaan hari ini tidak mampu untuk menguruskan negara dengan baik.
“PAS perlu tampil dengan cara paling praktikal untuk memperbaiki perkara-perkara ini dan ini saya rasakan itu lebih penting,” katanya.
“Tidak ada keperluan mendesak untuk isu ini dibahaskan dan masanya juga belum tiba,” katanya, mengulas pertanyaan membabitkan calon perdana menteri.
Mana-mana parti bagaimanapun berhak mengemukakan calon pilihan masing-masing, katanya.
“Saya tidak kata itu tidak penting, tetapi keperluan utamanya bukan itu.
“Saya amat berharap semua ahli dan saf kepimpinan dapat berkongsi pandangan di dalam muktamar ini nanti.
“Inilah tujuan muktamar iaitu meja rundingan dan setiap idea dan pandangan boleh dibentangkan di sini,” katanya.
Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu 2025 yang berlangsung minggu lalu menyaksikan usul mencalonkan semula Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri ke-11, yang dikritik oleh sesetengah pihak kerana dianggap mengabaikan isu-isu rakyat. @sumber
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.