PN Persoal Lantik PMX Pengerusi Majlis Sejarawan Negara

KUALA LUMPUR, 15 Sep 25 – Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Wan Saiful Wan Jan menyambut baik penubuhan Majlis Sejarawan Negara yang menurutnya penting bagi membentuk jati diri bangsa dan menjadi panduan untuk masa depan.

Namun, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu itu mempersoalkan pelantikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pengerusi majlis itu kerana menurutnya khuatir ia menjadi alat pemerintah.

“Rakyat berhak bertanya sama ada Majlis Sejarawan Negara akan digunakan untuk mengangkat ilmu sejarah secara objektif atau sekadar dijadikan alat menulis semula sejarah mengikut kehendak politik pemerintah semasa.

“Jika sejarah diputarbelit, bangsa kita akan kehilangan pengajaran yang sebenar dan akhirnya jatuh ke dalam perangkap propaganda,” kata Wan Saiful.

Jelasnya, pelantikan Anwar itu menimbulkan persoalan tentang integriti dan kebebasan majlis tersebut kerana pengerusi yang dilantik seharusnya bebas dan berkredibiliti.

“Di kebanyakan negara lain, badan sejarah nasional diketuai sejarawan atau tokoh akademik, bukannya orang politik.

“Jika kita menggunakan contoh badan-badan yang dirujuk oleh kerajaan sendiri semasa proses penubuhan majlis ini, kita akan mendapati bahawa sebaiknya pengerusi mestilah seorang yang bebas,” katanya.

Wan Saiful antara lain mengemukakan contoh majlis serupa di beberapa negara seperti India, Filipina, Vietnam, China, Iran, Perancis dan Amerika Syarikat yang mana tokoh ilmuan dan sarjana dilantik mengetuainya.

“Maka, Malaysia akan kelihatan ganjil jika Majlis Sejarawan Negara dipengerusikan terus oleh perdana menteri,” katanya lagi

Kerajaan kata Wan Saiful sepatutnya menjadi fasilitator, bukannya pengendali langsung.

“Jika tidak, Majlis ini akan dilihat sebagai percubaan menulis semula sejarah mengikut kehendak naratif politik semasa, dan memenuhi cita-cita politik seorang individu yang mahu mengawal naratif sejarah negara,” tambahnya.

Baru-baru ini, kerajaan mengumumkan penubuhan Majlis Sejarawan Negara bagi pertama kalinya, sebuah badan berautoriti yang akan berperanan memberi nasihat kepada kerajaan mengenai naratif sejarah negara.

Majlis yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang sebagai timbalan pengerusi, terdiri daripada 17 orang ahli. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share