
KUALA LUMPUR, 10 Jun 25 – Khairy Jamaluddin Abu Bakar memberikan markah 50% kepada usaha reformasi ekonomi yang sedang dilaksanakan kerajaan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam siaran podcast Game of Impossible bersama bekas menteri Datuk Seri Idris Jala dan anaknya, Leon, Khairy, atau lebih mesra sebagai KJ berkata, kerajaan masih gagal melaksanakan keseluruhan reformasi ekonomi yang sepatutnya.
“Jadi jika daripada tiga reformasi struktural utama, hanya satu setengah yang dilakukan, maka markahnya 50%,” katanya.
Antara cadangan yang diutarakan Khairy adalah perubahan dari aspek perluasan asas cukai, penstrukturan semula subsidi, dan reformasi sistem pencen.
Kerajaan bagaimanapun katanya belum melaksanakan reformasi cukai bagi memperluas asas pendapatan negara, yang menurutnya jauh lebih rendah berbanding negara setaraf dari segi keluaran dalam negara kasar (KDNK).
“Jumlah pembayar cukai di Malaysia jauh lebih kecil berbanding negara lain, dan ini menjadi masalah kepada kerajaan kerana asas pendapatan kita terlalu kecil.
“Sebab itu kita perkenalkan GST (cukai barang dan perkhidmatan),” katanya.
Berhubung cadangan penstrukturan subsidi, Khairy berkata cabaran terbesar ialah penyasaran subsidi petrol RON95.
Jelasnya, reformasi terakhir yang perlu dilakukan kerajaan ialah reformasi pencen, yang dijangka menelan belanja sehingga RM30 bilion dalam tempoh 10 tahun akan datang. @politiko.my