
KUALA LUMPUR, 17 Sep 25 – Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr. Malike Brahim berpandangan kedudukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Perikatan Nasional (PN) kini semakin goyah apabila PAS dilihat tampil lebih berani menuntut peranan utama dalam gabungan itu.
Menurut beliau, perkembangan ini berpunca daripada kekuatan PAS yang memiliki jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang besar berbanding Bersatu.
“PAS kini sudah terang-terangan menyebut kesediaan untuk mengambil alih teraju PN. Malah, kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bahawa Bersatu tiada jentera dan bergantung pada PAS dalam PRU15 menunjukkan ketidakseimbangan kuasa dalam gabungan ini,” katanya.
Dr. Malike menegaskan, Bersatu tidak lagi dianggap sebagai sekutu menguntungkan, malah boleh dilihat sebagai liabiliti dalam senario politik semasa.
“Bersatu tidak boleh terlalu berani berkokok kerana bimbang ayam menang, kampung tergadai. PAS mempunyai keyakinan untuk berdiri sendiri, seperti yang pernah dilakukan pada PRU14. Mereka yakin mampu mempertahankan kuasa di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis,” ujarnya.
Bagaimanapun, beliau berpandangan pengekalan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden Bersatu masih penting untuk meredakan ketegangan dalaman PN.
“Atas penghormatan kepada kekananan politik Muhyiddin sebagai mantan Perdana Menteri, kedudukannya boleh meredakan situasi ‘retak menanti belah’ dalam PN, meskipun ada desakan supaya beliau berundur,” jelasnya.
Tambah beliau, Bersatu sebagai parti baharu dan kecil akan berdepan cabaran sukar dalam PRU16 sekiranya bergerak tanpa PAS.
“Jalan berkompromi adalah yang terbaik, dan Bersatu perlu mengikut telunjuk PAS. Jangan terkejut jika keadaan menjadi rumit, PAS boleh sahaja menyingkirkan Bersatu di Kedah tanpa rasa bersalah sekiranya pemimpin atau penyokong Bersatu terlalu menekan mereka,” katanya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.