Konsensus Nasional Baharu Berteraskan Politik Stabil, Demokrasi Matang — Saifuddin Abdullah

KUALA LUMPUR | 11 Mei 26 — Mantan Menteri Luar, Saifuddin Abdullah menegaskan bahawa pembinaan “Konsensus Nasional Baharu” perlu diasaskan kepada matlamat bersama yang mampu membawa Malaysia menjadi sebuah negara maju secara komprehensif dan futuris.

Menurut beliau dalam video hantarannya, tiang pertama kepada konsensus tersebut ialah kesepakatan nasional terhadap hala tuju negara yang jelas serta inklusif.

“Malaysia perlu dibangunkan sebagai negara maju secara menyeluruh dan futuris, dengan rakyat sebagai aset serta kekuatan utama negara,” katanya dalam satu ucapan yang menyentuh kerangka pembinaan konsensus nasional baharu.

Beliau turut menekankan bahawa kepelbagaian kaum dan latar belakang rakyat Malaysia perlu dilihat sebagai satu keistimewaan nasional, bukannya faktor perpecahan.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata nilai kesederhanaan atau moderation mesti dijadikan kunci utama dalam kehidupan bermasyarakat dan pentadbiran negara.

Menurutnya lagi, negara juga memerlukan konfigurasi politik yang stabil selain pembinaan budaya politik baharu yang lebih matang, sederhana dan merentasi kaum.

“Kita perlu membangunkan demokrasi matang yang pelbagai kaum dan moderat, di samping memperkukuh institusi, sistem serta undang-undang bertaraf dunia,” katanya.

Beliau turut menegaskan keperluan mewujudkan kerajaan yang berkemampuan, telus dan berterus terang dalam pentadbiran, selain komited menegakkan integriti serta membanteras rasuah.

Pada masa sama, aspek keamanan dan keselamatan negara perlu terus dijamin agar pembangunan dapat dilaksanakan secara mampan.

Tambah beliau, setiap dasar dan program kerajaan juga perlu dinilai secara menyeluruh supaya hasil pembangunan benar-benar dapat dinikmati oleh seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang.

Konsensus Nasional Baharu pertama kali diangkat oleh Hamzah Zainudin di satu forum, di ISEAS – Yusof Ishak Institute, Singapura Mei tahun lalu. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share