
KUALA LUMPUR, 23 Sep 25 – Kadar inflasi Malaysia meningkat 1.3 peratus pada Ogos 2025, apabila Indeks Harga Pengguna (IHP) naik kepada 134.9 berbanding 133.2 pada bulan sama tahun lalu, menurut Jabatan Perangkaan (DOSM).
Peningkatan itu dipacu terutamanya oleh kenaikan dalam kumpulan insurans dan perkhidmatan kewangan yang mencatat 5.6 peratus, sedikit lebih tinggi berbanding 5.5 peratus pada Julai.
Selain itu, beberapa kategori lain turut menyumbang kepada lonjakan inflasi, termasuk penjagaan diri, perlindungan sosial dan pelbagai perkhidmatan pada kadar 4.0 peratus, restoran dan perkhidmatan penginapan pada 3.5 peratus, serta pendidikan yang meningkat kepada 2.4 peratus.
Kategori makanan dan minuman juga mencatatkan kenaikan kepada 2.0 peratus pada Ogos berbanding 1.9 peratus bulan sebelumnya.
Menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin, kumpulan makanan dan minuman yang menyumbang hampir 30 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP, mencatatkan peningkatan yang konsisten. Bagaimanapun, inflasi makanan di rumah menurun kepada -0.1 peratus berbanding 0.3 peratus pada Julai, sementara makanan di luar rumah kekal tinggi pada kadar 4.3 peratus.
Secara keseluruhan, 59.7 peratus item dalam bakul IHP mencatat kenaikan harga, dengan majoritinya kurang daripada 10 peratus. Hanya 10 item direkodkan naik lebih daripada 10 peratus pada Ogos, manakala 185 item menunjukkan penurunan dan 46 item kekal tidak berubah.
Bagi kategori bahan api, inflasi petrol RON97 dan diesel terus kekal negatif. Purata harga RON97 turun kepada RM3.15 seliter berbanding RM3.47 pada Ogos tahun lalu, sementara purata harga diesel di Semenanjung berada pada RM2.90 seliter, juga lebih rendah berbanding RM3.27 pada tahun lalu. Di Sabah, Sarawak dan Labuan, purata harga diesel kekal pada RM2.15 seliter.
Di peringkat negeri, sebanyak 10 negeri merekodkan inflasi di bawah paras nasional 1.3 peratus, dengan Kelantan paling rendah pada kadar 0.1 peratus. Bagaimanapun, empat negeri mencatat inflasi melebihi paras nasional, iaitu Johor pada 2.0 peratus, diikuti Selangor dan Terengganu pada 1.5 peratus, serta Negeri Sembilan pada 1.4 peratus. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.