
KUALA LUMPUR | 19 Ogos 26 – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Razlan Rafii mencadangkan pembahagian peranan politik mengikut wilayah antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) sebagai formula mengelakkan pertembungan kedua-dua gabungan itu dalam pilihan raya akan datang.
Menurutnya, BN wajar diberi ruang mentadbir negeri-negeri di Selatan yang dianggap menjadi kekuatan gabungan itu, manakala PN boleh mengekalkan penguasaan di negeri-negeri Timur.
“Agihlah kerusi di Melaka ini sehabis baik, katakanlah BN bagus di dalam (negeri di) Selatan, bagilah BN mentadbir Selatan.
“Di Timur nanti, awak (PN) tadbirlah sana. Kalau ada persefahaman sebegini ada, elok,” katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini.
Razlan turut mencadangkan supaya model kerjasama itu diperluaskan ke Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis dengan memberi ruang kepada BN untuk turut terlibat dalam pentadbiran negeri berkenaan.
Katanya, rundingan antara BN dan PN perlu berasaskan konsep give and take bagi membolehkan kedua-dua pihak mencapai persefahaman mengenai pembahagian kerusi.
“Kat Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis negeri ini perlu juga mentadbir bersama dengan BN dan saya harapkan bila ada rundingan kerusi terjadi mungkin ada lebih kurang juga dan juga mungkin ada give and take,” katanya.
Elak jalan pemisah
Razlan berkata, kedua-dua gabungan perlu mengelakkan pendekatan yang boleh menyebabkan rundingan gagal, sebaliknya berlapang dada dalam mencari titik persamaan.
“Jangan kita cari jalan pemisah. (Cadangan berdasarkan) analisis ini semua jalan pemisah… jalan pemisah untuk mencari alasan (supaya) perundingan itu gagal.
“Kami dalam BN dan mereka dalam PN kena berlapang dada bincang sama-sama,” katanya.
Beliau turut menjadikan Negeri Sembilan sebagai contoh bahawa BN dan PN mampu mencapai persefahaman dalam pembahagian kerusi.
Katanya, jika penyelesaian boleh dicapai di Negeri Sembilan, tiada sebab perkara sama tidak boleh dilakukan di Melaka.
“Bincang elok-elok, kita boleh cari jalan penyelesaian di Negeri Sembilan, takkan tak boleh di Melaka,” katanya.
Persefahaman BN-PN di Negeri Sembilan sebelum ini menyaksikan BN bertanding di 25 daripada 36 kerusi, manakala PN diberi 11 kerusi.
Kerjasama itu kemudiannya membolehkan BN dan PN membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga selepas memenangi 25 kerusi pada PRN 1 Ogos lalu.
Cadangan Razlan itu secara tidak langsung meletakkan Melaka sebagai medan penting untuk menguji sama ada formula kompromi BN-PN di Negeri Sembilan boleh diperluaskan ke negeri lain.
Dalam perkembangan sama, Razlan yang juga Setiausaha Politik kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut mendakwa menteri daripada BN dalam Kerajaan Madani tidak mempunyai kebebasan sepenuhnya dalam melaksanakan beberapa perkara berkaitan pentadbiran dan pembangunan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.