
KUALA LUMPUR, 27 Sep 25 – Ketua Bahagian Bersatu Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard, menyatakan hasrat untuk memanggil penulis Bloomberg, Ram Anand, sebagai saksi utama pembelaannya dalam kes dakwaan hasutan berkaitan isu kasino Forest City.
Chegubard berkata, Jabatan Peguam Negara sendiri menawarkan penulis artikel itu sebagai saksi, dan beliau yakin langkah tersebut mampu membuka ruang pendedahan lebih besar berhubung dakwaan yang dikenakan terhadapnya.
“Insha Allah, dengan menampilkan Ram Anand dalam kandang saksi, ia akan membuka ‘kotak Pandora’,” katanya dalam kenyataan di media sosial.
Menurutnya, keputusan Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini yang memerintah beliau membela diri merupakan peluang untuk memberi keterangan bersumpah bagi menangkis pertuduhan yang dianggap sebagai fitnah jahat. Prosiding perbicaraan penuh ditetapkan pada 11 dan 12 Disember depan.
Chegubard menegaskan beliau sejak awal konsisten menolak dakwaan tersebut dan yakin pertuduhan itu tidak berasas.
“Saya akan gunakan peluang ini untuk menerangkan dengan jelas di mahkamah bahawa tuduhan ini adalah fitnah,” ujarnya.
Kes ini berpunca daripada kenyataan awam Chegubard yang merujuk kepada laporan Bloomberg mengenai cadangan pembinaan kasino di Forest City, Johor. Artikel tersebut mencetuskan kontroversi kerana menyentuh isu sensitif dan dinafikan kerajaan, namun menjadi asas kepada pertuduhan hasutan terhadapnya.
Dengan Ram Anand ditampilkan sebagai saksi, perbicaraan Disember nanti dijangka memberi tumpuan besar kepada sejauh mana laporan Bloomberg itu boleh dijadikan asas kepada pertuduhan atau sebaliknya menjadi kunci pembelaan Chegubard. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.