
KUALA LUMPUR | 20 Julai 26 – Ahli Parlimen Petaling Jaya daripada PKR, Lee Chean Chung melancarkan kritikan terbuka terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) apabila mendakwa pelbagai agenda reformasi yang pernah dijanjikan kepada rakyat masih gagal dilaksanakan, sekali gus menyifatkannya sebagai “janji tinggal janji”.
Menurut beliau, beberapa pembaharuan institusi yang menjadi teras perjuangan reformasi termasuk had tempoh jawatan Perdana Menteri, pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya, Akta Kebebasan Maklumat serta Akta Pembiayaan Politik masih belum direalisasikan walaupun PH kembali menerajui Putrajaya.
“Lebih mengecewakan, Akta Pembiayaan Politik yang sekian lama dijanjikan terus dibiarkan sepi,” katanya dalam satu hantaran di facebook, hari ini.
Lee berkata kegagalan melaksanakan pembaharuan itu menyebabkan punca kepada pelbagai skandal rasuah dan penyalahgunaan kuasa tidak pernah diselesaikan.
Beliau berkata PH sebelum ini lantang mengkritik skandal 1MDB ketika pentadbiran Datuk Seri Najib Razak serta isu Jana Wibawa dan “Safe House” ketika pentadbiran Perikatan Nasional, namun sehingga kini masih belum membetulkan sistem pembiayaan politik yang menurutnya menjadi akar kepada masalah tersebut.
“Selagi akar masalah ini tidak diselesaikan, skandal baharu akan terus berulang, tidak kira siapa yang memerintah,” katanya.
Selain itu, Lee turut mempersoalkan kelewatan kerajaan membentangkan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim, sedangkan Kesatuan Eropah dijangka mula melaksanakan mekanisme pelarasan karbon ke atas import tertentu.
Katanya, kelewatan itu boleh menyebabkan Malaysia kehilangan hasil yang sepatutnya dimanfaatkan untuk menangani kesan perubahan iklim, termasuk mengurangkan risiko banjir, melindungi sektor pertanian, menangani hakisan pantai serta mempercepatkan peralihan kepada ekonomi rendah karbon.
Beliau turut menyifatkan alasan bahawa dasar tersebut ditangguhkan bagi mengelakkan beban kepada rakyat sebagai tidak munasabah kerana kos sepatutnya ditanggung oleh pencemar terbesar, manakala hasil kutipan boleh dipulangkan semula kepada rakyat.
Dalam kritikan paling keras terhadap gabungan yang dianggotainya sendiri, Lee mendakwa semangat reformasi yang menjadi asas perjuangan PH kini semakin terhakis.
“Saya tidak lagi melihat roh reformasi itu hidup dalam Pakatan Harapan seperti yang pernah diperjuangkan dahulu. Katanya.
Beliau berkata roh perubahan yang lahir daripada perjuangan rakyat sejak lebih dua dekad lalu kini semakin “nazak” kerana dikorbankan demi kepentingan politik jangka pendek, namun percaya semangat itu akan terus mencari wadah, pentas dan kepimpinan baharu yang benar-benar berani memperjuangkannya.
Lee turut mendedahkan beliau dikenakan sekatan peruntukan kawasan walaupun memilih untuk terus berdisiplin dan menghormati keputusan parti.
Menurutnya, tindakan itu dibuat tanpa siasatan, tanpa peluang untuk didengar dan tanpa proses yang adil.
“Hukuman dijatuhkan tanpa bicara. Jika itulah standard yang mahu dijadikan amalan, maka mengikut logik yang sama, esok lusa saya juga boleh dipecat. Tidak perlu siasatan. Tidak perlu pendengaran. Tidak perlu peluang mempertahankan diri,” katanya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.