
KUALA LUMPUR, 30 Sep 25 — Bermula tengah malam ini, semua rakyat Malaysia yang memiliki lesen memandu sah akan menikmati harga petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter menerusi program subsidi bersasar Budi Madani RON95 (BUDI95).
Program itu mula diperkenalkan Sabtu lalu, dengan anggota tentera dan polis menjadi kumpulan pertama menerima manfaat harga istimewa berbanding harga pasaran semasa RM2.05 seliter.
Ia kemudiannya diperluaskan kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR), sebelum melibatkan seluruh rakyat Malaysia bermula esok.
Melalui BUDI95, setiap pengguna boleh membeli sehingga 300 liter petrol RON95 sebulan pada kadar subsidi tersebut.
Proses pembelian boleh dibuat dengan tiga langkah mudah: menyemak kelayakan di portal rasmi atau aplikasi terpilih, membuat pengesahan menggunakan MyKad di stesen minyak, dan kemudian mengisi bahan bakar.
Sementara itu, warga asing yang menggunakan kenderaan berdaftar Malaysia perlu membayar harga pasaran yang akan ditetapkan kerajaan setiap bulan, dengan harga permulaan RM2.60 seliter pada Oktober.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum ini menjelaskan bahawa peralihan daripada subsidi pukal kepada subsidi bersasar melalui BUDI95 bertujuan melindungi kebajikan rakyat serta mengekang ketirisan dan penyeludupan bahan api.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari portal www.budimadani.gov.my atau menghubungi talian 1300-88-9595. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.