
KUALA LUMPUR, 2 Sep 25 – Ketua Bahagian Bersatu Hang Tuah Jaya, Mohd Azrudin Datuk Hj Md Idris, mendakwa wujud kemungkinan dalang dari dalam parti sendiri berperanan menyebarkan surat layang yang menyerang Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Beliau berkata, sejak beberapa hari lalu surat layang berkenaan diterima melalui aplikasi WhatsApp daripada nombor tidak dikenali, termasuk dari luar negara, dan diedarkan dalam kumpulan-kumpulan WhatsApp penyokong Bersatu.
“Semua surat layang itu hanya membawa satu mesej iaitu memburukkan Timbalan Presiden. Dari satu sudut ia menunjukkan ketokohan beliau begitu kuat sehingga diserang bertubi-tubi. Namun kerana ia berlegar dalam kumpulan penyokong Bersatu sahaja, timbul persoalan sama ada ia angkara pihak dalam parti sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Azrudin menegaskan tindakan sedemikian bukan budaya Bersatu dan tidak boleh dibiarkan berakar.
“Ini mungkin kebiasaan dalam parti lain, tetapi ia bukan budaya Bersatu. Saya menyeru semua ahli Bersatu menolak sebarang usaha terancang membawa budaya buruk parti lain ke dalam Bersatu,” tegasnya.
Baru-baru ini, tular beberapa mesej yang dikongi dari pelbagai kumpulan whatsapp yang mendakwa terdapat usaha pihak tertentu untuk menaikkan Hamzah Zainuddin sebagai pengganti Muhyiddin Yassin. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.