
KUALA LUMPUR, 1 Okt 25 – Tekanan terhadap Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan terus meningkat apabila kepimpinan Bersatu daripada kem yang berpihak kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Azmin Ali tampil mendesak agar tindakan disiplin keras, termasuk pemecatan, dikenakan terhadapnya.
Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam kenyataan hari ini menegaskan, kenyataan terbuka Wan Saiful bersama beberapa pemimpin bahagian bukan sahaja mengelirukan, malah menjejaskan imej parti di mata rakyat.
“Kami menggesa Majlis Pimpinan Tertinggi serta Lembaga Disiplin Parti mengambil tindakan segera terhadap mana-mana ahli, termasuk Datuk Wan Saiful, yang telah mengeluarkan kenyataan bercanggah dengan dasar parti,” katanya.
Nada sama turut dikeluarkan oleh 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu Selangor, yang diketahui rapat dengan kumpulan Muhyiddin–Azmin. Mereka mendesak pemecatan Wan Saiful serta tiga lagi pemimpin parti yang didakwa terbabit dalam usaha terancang mahu menjatuhkan Presiden Bersatu melalui gerakan akuan bersumpah (SD).
“Penipuan tidak boleh ditutup dengan siri penipuan baharu. Tindakan ini mestilah berbentuk pemecatan serta-merta daripada parti demi menjaga disiplin, integriti dan maruah perjuangan,” kata mereka dalam kenyataan bersama.
Sementara itu, Bersatu Johor yang turut dikenali sebagai kubu kuat kem Muhyiddin, melalui pengerusinya Datuk Dr. Sahruddin Jamal, menegaskan Lembaga Disiplin mesti bertindak segera terhadap Wan Saiful.
“Sebagai sebuah organisasi politik berteraskan prinsip ketertiban dan tataetika, sebarang pelanggaran disiplin atau tingkah laku yang menjejaskan imej parti tidak boleh dipandang ringan. Lembaga Disiplin hendaklah mengambil langkah sewajarnya tanpa lengah agar keyakinan ahli dan rakyat terhadap ketegasan serta kewibawaan parti terus terpelihara,” katanya.
Baru-baru ini, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan dalam satu sidang media mendedahkan isi Akuan bersumpah (SD) 120 Ketua Bahagian (KB) Bersatu adalah bukan bertujuan menyingkirkan Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada jawatan presiden parti itu, sebaliknya kandungan SD tersebut bertujuan menyatakan pandangan usul berkaitan pencalonan Muhyiddin sebagai perdana menteri tidak perlu di bawa ke Mesyuarat Agung Tahunan (PAT) lepas. @sumber
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.