Presiden BERSATU Didakwa Tipu Parti, Ahli Diminta Bertindak

PENGERANG | 29 Jan 26 — Bekas Ketua Bahagian BERSATU Pengerang, Mohd Faizal Asmar, mendakwa Presiden BERSATU, Muhyiddin Yassin, berbohong secara terbuka berhubung dakwaan kononnya PAS dan BERSATU telah bersetuju memansuhkan jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN).

Dalam satu kenyataan semalam, Mohd Faizal berkata beliau telah meneliti surat Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, yang menurutnya secara jelas menafikan dakwaan tersebut dan sekaligus membuktikan kenyataan Muhyiddin bercanggah dengan fakta perbincangan sebenar antara parti-parti komponen PN.

“Surat Presiden PAS bukan sekadar menolak dakwaan itu, malah memperlihatkan kenyataan Presiden BERSATU sebagai mengelirukan. Bagi saya, ini bukan kekeliruan, tetapi satu pembohongan yang disengajakan,” katanya.

Semalam, Parti Islam Se-Malaysia (PAS), dalam satu surat kepada presiden-presiden parti komponen PN, menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) telah dimansuhkan susulan cadangan penstrukturan semula gabungan itu, sambil menegaskan bahawa naratif tersebut tidak pernah dibincangkan apatah lagi dipersetujui oleh PAS, termasuk dalam mesyuarat pada 16 Januari lalu.

Dalam pada itu, Faizal menyifatkan perbuatan itu sebagai amat memalukan parti dan mendakwa tindakan berkenaan dilakukan semata-mata untuk menyelamatkan kedudukan politik peribadi Muhyiddin.

“Lebih mendukacitakan, pembohongan ini dilakukan oleh seorang yang sering dilabel sebagai negarawan, namun sanggup memperdaya ahli dan rakyat,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa ahli-ahli BERSATU yang masih setia kepada parti supaya mengemukakan aduan rasmi kepada Lembaga Disiplin (LD) BERSATU berhubung isu tersebut, yang menurutnya telah mencemarkan imej dan kredibiliti parti.

Beliau turut mengingatkan agar Lembaga Disiplin bertindak tegas dan konsisten, merujuk kepada tindakan pemecatan yang pernah dikenakan terhadap dirinya dan beberapa rakan sebelum ini.

“Lembaga Disiplin perlu memanggil Presiden untuk memberi penjelasan dan seterusnya memecat beliau daripada jawatan Presiden serta keahlian parti sekiranya dakwaan ini gagal disangkal secara berfakta,” katanya.

Mohd Faizal mendakwa pembohongan berkenaan telah meruntuhkan kepercayaan ahli akar umbi terhadap kepimpinan tertinggi parti, khususnya di peringkat bahagian dan negeri.

Mengakhiri kenyataannya, beliau menyatakan bahawa langkah paling terhormat buat Muhyiddin adalah meletakkan jawatan secara sukarela.

“Sekurang-kurangnya itu satu tindakan bermaruah — jika maruah itu masih bersisa,” katanya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share