
KUALA LUMPUR, 10 MEI 25 – Sikap ahli politik yang menunjukkan contoh buruk adalah punca kepada golongan belia bukan sahaja tidak meminatinya tetapi bahkan membenci politik.
Ahli Parlimen Indera Mahkota Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, politik mesti dikembalikan kepada falsafah dan matlamat sebenarnya, dilaksana dengan bersih dan segar, serta dibawa ke tahap yang lebih murni dan tinggi.
“Ia mesti sesuai dengan ‘tiga permintaan belia’, iaitu belia mahu suaranya didengar, peranannya diiktiraf dan isu-isunya ditangani dengan berorientasi-belia.
“Kita harus dengan bijaksana memfasilitasi kefahaman belia terhadap politik.
“Ini kerana ramai belia tidak meminati, malahan membencinya. Ini bukannya salah mereka, tetapi salah ahli-ahli politik yang menunjukkan contoh buruk berpolitik,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan sempena Sidang Kemuncak Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Belia Malaysia-Asean, Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia Berkaitan Sidang Kemuncak Matlamat Pembangunan Mampan (APPGM-SDG).
“Pada saya, ia penting untuk meningkatkan partisipasi belia dalam politik dengan SDG sebagai wahananya.
“Namun, ia tidak seharusnya politik biasa, tetapi Politik Baru (buku saya, 2008), yang terdiri daripada dua komponen, iaitu Integriti Politik dan Kerangka Governans Baru,” kata Saifuddin.
Saifuddin berkata, integriti politik merujuk politik sebagai perjuangan dengan beberapa rukun tertentu, iaitu idealisme, aktivisme dan intelektualisme.
Idealisme bermakna memiliki prinsip-prinsip, aktivisme bermakna bekerja merealisasikan prinsip-prinsip tersebut, dan Intelektualisme pula bermakna memiliki ilmu dan kemahiran terkini berkaitan prinsip-prinsip perjuangan dan kerja-kerja pelaksanaan itu.
“Ketiga-tiganya hendaklah diamalkan sederap supaya perjuangan tertegak sepenuh dan seutuhnya,” tambahnya. @politiko.my