
PETALING JAYA, 4 Okt 25 — Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terus berdepan pergolakan dalaman apabila beberapa pemimpin akar umbi mendakwa wujud unsur manipulasi dan pengkhianatan oleh individu yang rapat dengan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ketua Bahagian Bersatu Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard, mendakwa nama presiden disalahgunakan untuk menekan calon tertentu dan mengukuhkan pengaruh kelompok tertentu dalam parti.
“Sesetengah orang guna nama presiden untuk menolak calon yang tidak sehaluan. Saya sudah maklumkan kepada presiden dan beliau tidak bersetuju. Tapi kalau terus diam, keadaan akan jadi lebih parah. Mereka ini mesti dihentikan,” katanya memetik laporan theSun.
Tambah beliau, tindakan segelintir pihak menggunakan nama Muhyiddin bagi menentukan calon dan pelantikan dalam parti bukan sahaja menyalahi semangat perjuangan asal Bersatu, malah menjejaskan tumpuan terhadap isu rakyat.
Beliau berkata, Muhyiddin sebenarnya tidak bersetuju dengan amalan tersebut, namun keadaan kini memerlukan campur tangan segera bagi mengelak krisis lebih besar.
Keretakan dalam Bersatu semakin ketara selepas Ketua Penerangan parti, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz, mengeluarkan kenyataan berhubung dakwaan penyaluran dana RM10 juta kepada UMNO semasa pilihan raya negeri Sabah pada 2020.
Badrul menyifatkan kenyataan itu boleh memudaratkan Muhyiddin dan mendesak agar penjelasan rasmi dibuat bagi mengelak presiden terperangkap dalam permainan politik orang sekeliling. @sumber
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.