
KUALA LUMPUR, 10 Jul 25 – Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Khairil Nizam Khirudin mengesahkan bahawa PAS telah mengemukakan cadangan mewujudkan Majlis Presiden Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai semua presiden parti dalam gabungan itu.
Menurut Khairil, perkara itu sudah dimaklumkan kepada pucuk pimpinan BERSATU.
“Cadangan ini sudah sampai ke pihak BERSATU dan kita minta mereka sama-sama memikirkannya sebab ia memerlukan konsensus antara parti (dalam PN).
“Kita mencadangkan diwujudkan satu badan tertinggi dinamakan Majlis Presiden yang mana melalui majlis ini, ia akan dianggotai presiden parti yang secara prinsipnya akan melihat PN (secara menyeluruh).
Katanya, ia antara syor PAS dalam usaha untuk menambah baik dan memperkasa struktur pentadbiran PN.
“Ada pun pada peringkat pengoperasian day to day (harian) termasuk menjawab, menjuarai dan menggembleng isu, ia boleh diserahkan kepada jawatankuasa eksekutif,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Beliau pada masa yang sama turut mengulas mengenai isu penggiliran jawatan pengerusi gabungan itu yang kini dipegang Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Kita lihatlah (nanti) perkembangan terbaharu daripada perbincangan ini,” katanya.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan sebelum ini berkata, penambahbaikan struktur organisasi itu dijangka dilaksanakan selepas jawatankuasa khas PN selesai membuat penilaian menyeluruh. @sumber
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.