
KUALA LUMPUR, 6 Okt 25 — Umno membantah keras majlis makan malam anjuran Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) yang menghidangkan alkohol kepada tetamu yang hadir.
Presiden Datuk Seri Zahid Hamidi menegaskan, parti itu juga akan menyuarakan bantahan tersebut dalam mesyuarat Jemaah Menteri kerana tindakan itu adalah tidak wajar serta bercanggah dengan kedudukan Malaysia sebagai negara Islam.
“Sebagai presiden Umno, kita menolak 100% cadangan itu. Acara seperti ini tidak pernah diadakan dalam mana-mana program rasmi kerajaan sebelum ini dan ia perlu ditolak,” katanya, di Majlis Pelancaran Skuad Yayasan Pelajaran MARA (YPM) peringkat negeri Johor di Arena Larkin, semalam.
Timbalan perdana menteri turut menegaskan, walaupun kerajaan menghormati agama dan budaya masyarakat berbilang kaum, penganjuran acara rasmi kerajaan perlu mengambil kira sensitiviti umat Islam selaras kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.
“Tentunya kita harus menolak dan kita mesti tidak bersetuju dengan program berkenaan.
“Malaysia adalah negara Islam, biarpun kita menghormati agama, budaya dan kelaziman lain-lain agama. Tetapi ini merupakan acara kerajaan,” katanya.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing sebelum ini menjelaskan Tourism Malaysia hanya bertanggungjawab menganjurkan acara Global Travel Meet selama dua hari setengah, yang berjaya menjana impak ekonomi bernilai RM420 juta.
Acara makan malam itu katanya merupakan inisiatif pihak industri dan sektor swasta. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.