Penjimatan Subsidi Tak Sampai Kepada Rakyat, Semua Habis Bayar Hutang – Rafizi

KUALA LUMPUR, 14 Okt — Mantan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, memberi amaran bahawa kedudukan kewangan negara semakin rapuh apabila lebih separuh perbelanjaan mengurus kerajaan kini diserap untuk membayar faedah hutang.

Dalam ucapan perbahasan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, beliau mendedahkan bahawa bagi setiap RM1 kenaikan belanja mengurus, 67 sen digunakan untuk membayar faedah hutang, menjadikan bayaran khidmat hutang kerajaan meningkat daripada RM54.3 bilion pada 2025 kepada RM58.3 bilion pada 2026.

“Bagi setiap RM1 dibelanjakan untuk dua kategori, bantuan rakyat dan faedah hutang, 54 sen adalah untuk membayar hutang, hanya 47 sen untuk meringankan beban hidup rakyat,” katanya.

Rafizi turut menegaskan bahawa langkah penjimatan kerajaan, termasuk penyasaran semula subsidi, akhirnya tidak membantu rakyat kerana hasil penjimatan itu habis menampung pembayaran hutang yang meningkat mendadak.

Beliau menganggarkan penjimatan subsidi dan bantuan sosial sebanyak RM18 bilion sejak 2022 telah “ditelan sepenuhnya” oleh kenaikan bayaran khidmat hutang dalam tempoh sama.

Rafizi turut membangkitkan kebimbangan terhadap paras keberhutangan sebenar negara yang mencecah 81.9% daripada KDNK, apabila mengambil kira 64.7% hutang kerajaan dan 17.2% jaminan hutang luar penyata (off balance-sheet) yang kini berjumlah RM332.8 bilion.

“Jika berlaku gangguan ekonomi atau lonjakan harga minyak mentah tahun depan, kerajaan berdepan risiko sebenar melepasi siling hutang 65% daripada KDNK,” tegas beliau.

Rafizi juga menggesa rombakan besar terhadap cara kerajaan mengurus hutang, termasuk keperluan agar Parlimen diberi peranan memantau unjuran dan penerbitan hutang baharu.

“Kita tak boleh rombak sistem subsidi secara besar-besaran atas nama pengukuhan fiskal, tapi pengurusan hutang kekal di tangan segelintir tanpa penelitian awam,” ujarnya.

Menurut beliau, dalam tempoh tiga tahun terakhir, jumlah bayaran hutang meningkat RM17.8 bilion, sementara perbelanjaan bantuan sosial dan subsidi berkurang RM18 bilion, menunjukkan trend yang “tidak sihat” untuk rakyat dan ekonomi. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share