
KUALA LUMPUR, 15 Okt 25 — Isu pemecatan Wan Saiful Wan Jan sebagai ahli Bersatu dan penggantungan keahlian Wan Ahmad Fayhsal juga menarik perhatian parti lawan apabila Ketua Angkatan Muda Keadilan Johor menyifatkan ia memberi isyarat jelas bahawa dalam parti itu, “siapa yang bersuara, akan disenyapkan”.
Faezuddin Mohd Puad, menuduh bahawa tindakan tersebut merupakan langkah “pembersihan dalaman” terhadap pemimpin yang tidak selari dengan arus politik utama dalam parti.
“Wan Saiful sebelum ini lantang mengkritik kepimpinan Azmin Ali, mendakwa wujud gerakan akuan berkanun (SD) untuk menukar pucuk pimpinan, dan menyebut tentang aliran dana jutaan ringgit,” katanya dalam satu kenyataan.
“Ini bukan sekadar tindakan disiplin, ia adalah isyarat bahawa sesiapa berani bersuara, akan disenyapkan.”
Faezuddin menegaskan bahawa pemecatan ini adalah peringatan dalaman terhadap mana-mana anggota yang cuba menyanggah suara dominan dalam parti khususnya mereka yang membongkar dakwaan atau membuat tuduhan mengenai “aktiviti dalaman Bersatu”.
Empat lagi ketua bahagian Bersatu yang turut berdepan tindakan pemecatan adalah Mohd Azrudin Md Idris (Hang Tuah Jaya); Mohd Faizal Asmar (Pengerang); Mohd Fadhli Ismail (Ipoh Timur) dan Mohd Isa Mohd Saidi dari Bahagian Ampang. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.