
KUALA LUMPUR, 25 APR 25 – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa membuat penafian di mahkamah berhubung dakwaan terlibat memerangkap Yusoff Rawther membabitkan isu dadah dan memiliki pistol tiruan, kata Bersatu.
Pengerusi Biro Perundangan dan Perlembagaan Bersatu Khaliq Mehtab Mohd Ishaq berkata, langkah itu perlu bagi membersihkan namanya.
“Sebagai ahli Parlimen dan wakil rakyat, saya menyeru agar perdana menteri tampil segera untuk menafikan secara terbuka tuduhan yang telah disebut secara jelas di mahkamah demi menjaga maruah jawatan beliau, serta mengelakkan sebarang keraguan awam terhadap kredibiliti dan integriti kepimpinan negara.
“Kebenaran perlu ditegakkan, dan fitnah jika benar ia fitnah, wajib dibalas dengan tindakan, bukan diam membisu, jika perdana menteri yakin dirinya bersih, maka rakyat berhak mendengar penafian itu secara jelas dan rasmi,” katanya, dalam satu kenyataan.
Katanya, tuduhan yang dibuat di mahkamah itu mempunyai implikasi yang serius.
“Ini adalah tuduhan yang amat serius dan mempunyai implikasi undang-undang yang sangat berat,termasuk kemungkinan hukuman mati sekiranya terbukti.
“Namun sehingga kini, tiada satu pun penafian rasmi, kenyataan terbuka, atau tindakan undang-undang balas daripada pihak perdana menteri terhadap tuduhan itu,” katanya. @politiko.my