
KUALA LUMPUR, 17 Okt 25 – Kementerian Ehwal Dalam Negeri Singapura tindakan PAS cuba mencampuri urusan pilihan raya republik itu tidak boleh diterima sama sekali, selepas Setiausaha Agung Datuk Seri Takiyuddin Hassan dikatakan mempertahankan kenyataan pemimpinnya yang menyokong calon Parti Pekerja semasa pilihan raya umum tahun ini.
Kementerian berkenaan dalam satu kenyataan dilapor berkata, kenyataan terbaharu Takiyuddin yang mengatakan kenyataan dibuat pimpinan parti itu sebagai “ulasan rentas sempadan biasa” berbeza daripada nada awal yang menjarakkan diri daripada kenyataan tersebut.
“Niat PAS jelas untuk mempengaruhi pengundi Singapura. Itu tidak boleh diterima,” kata kenyataan itu.
Sebelum ini, kenyataan PAS yang dibuat pada 28 April lalu, mengatakan tindakan dua pemimpinnya adalah “pandangan peribadi dan sama sekali tidak mencerminkan dasar rasmi atau pendirian PAS sebagai parti politik.”
Namun begitu, Takiyuddin dalam kenyataannya baru-baru ini menegaskan PAS menolak cubaan menjadikan parti Islam itu sebagai “boogeyman politik’ demi kepentingan partisan di Singapura
Malah tegasnya, PAS tidak akan membiarkan naratif palsu yang menggambarkan pandangan rentas sempadan sebagai ancaman keselamatan demi keuntungan politik jangka pendek.
Menteri bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, republik itu, K Shanmugam juga dilapor berkata di Parlimen dengan menegaskan entiti asing tidak boleh cuba mempengaruhi pengundi Singapura, lebih-lebih lagi atas garisan kaum atau agama.
Menurutnya tindakan sebegitu bersifat memecah belah dan tidak boleh diterima.
“Pihak atau individu asing tiada hak untuk memberitahu rakyat Singapura bagaimana untuk mengundi, apatah lagi berdasarkan garis perkauman atau keagamaan.
“Itu mungkin cara politik berfungsi di negara lain, tetapi bukan cara politik dan parti politik disusun dalam masyarakat pelbagai kaum dan agama seperti Singapura,” katanya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.