
KUALA LUMPUR, 20 NOV 25 – Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin disifatkan sebagai aset paling stabil dalam kepimpinan Perikatan Nasional (PN) ketika ini, dengan penganalisis memberi amaran sebarang cubaan menyingkirkan beliau sebagai Ketua Pembangkang hanya akan menggugat kekuatan gabungan tersebut.
Penganalisis politik dari Global Asia Consulting, Dr. Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, spekulasi pertukaran jawatan membabitkan Ahli Parlimen Larut itu dengan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr. Radzi Jidin, sebagaimana tular sejak kebelakangan ini, berpotensi menjadi “bom jangka” kepada PN.
Menurut beliau, Hamzah mempunyai kelebihan tersendiri kerana dilihat mampu menjadi jambatan antara dua aliran utama dalam PN iaitu pendekatan teknokrat dalam Bersatu dan populisme politik yang dibawa PAS.
“Tan Sri Muhyiddin Yassin secara prinsip memang layak mengetuai pembangkang sebagai Pengerusi PN, namun langkah itu boleh dianggap keterlaluan dan menyekat ruang strategi PN menjelang pilihan raya.
“Jika Tan Sri Abdul Hadi Awang pula dilantik, ia berisiko mengukuhkan persepsi bahawa PN terlalu berorientasikan Islam sehingga menjarakkan sokongan pengundi bukan Melayu,” katanya, memetik laporan FMT.
Isnin lalu, seramai 18 Ahli Parlimen Bersatu bertemu dengan Muhyiddin dalam perkembangan yang hadir selepas tindakan disiplin diambil terhadap Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Datuk Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, mencetuskan surat bantahan 19 Ahli Parlimen parti itu sebelum ini.
Pertemuan itu turut berlangsung di tengah khabar angin kononnya terdapat desakan agar Radzi mengambil alih peranan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat.
Ahli Parlimen Sabak Bernam, Kalam Salan, bagaimanapun menegaskan bahawa isu kedudukan Hamzah langsung tidak dibangkitkan dalam pertemuan tersebut.
Penganalisis dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr. Syaza Shukri pula menekankan pentingnya jawatan Ketua Pembangkang sebagai figura alternatif Perdana Menteri, seperti peranan yang pernah dimainkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.
“Hamzah dilihat sebagai pemimpin masa depan yang sedang dibentuk untuk memikul tugas lebih besar. Jika digantikan dengan Radzi, timbul persoalan – adakah beliau calon Perdana Menteri alternatif?” katanya.
Sementara itu, Felo Majlis Profesor Negara, Prof. Dr. Azmi Hassan berkata, kepimpinan Bersatu mungkin tidak berani bertindak secara langsung terhadap Hamzah, sebaliknya menumpukan tindakan ke atas penyokong beliau terlebih dahulu dalam usaha meredakan keadaan.
“Apabila alasan PRN Sabah digunakan, ia menunjukkan Muhyiddin cuba menurunkan suhu politik dalam parti, tidak mahu memperbesarkan isu buat masa ini,” katanya.
Namun beliau mengingatkan bahawa strategi menangguhkan keputusan hanya bersifat sementara.
“Sampai bila isu ini boleh dibiarkan? Lambat-laun ia akan meletup juga, kerana persoalan kepimpinan ini masih belum terjawab,” katanya. @sumber
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.