Oleh : Asmawar Samat

Belanjawan Malaysia bagi tahun 2026 berjumlah RM421 bilion yang diumum oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, pada 10 Oktober 2025 telah menimbulkan persoalan ke mana perginya Agenda Memperkasa Ekonomi Bumiputera (AMEB)?
Persoalan ini pernah ditimbulkan sejak sebelum penyediaan belanjawan 2025, tetapi nampaknya sudah masuk ke tahun kedua perkara ini masih diabaikan.
AMEB adalah penting bagi menyeimbangkan penyertaan kaum Bumiputera dibidang ekonomi agar kerancakan sektor ekonomi dapat berdaya saing dan dilipatgandakan keberhasilannya.
Kaum Melayu dan Bumiputera tidak boleh lagi bergantung harap kepada kuasa politik semata-mata kerana pasca PRU Ke-15 menunjukkan kuasa yang dulunya signifikan telah terbahagi-bahagi dengan parti-parti lain yang turut mempunyai agenda masing-masing.
Jika suatu ketika dahulu, parti UMNO adalah tempat mereka bergantung harap, tetapi kini suara lantang dan tegas suatu ketika dahulu sudah menjadi lunak bersama Agenda Ekonomi Madani yang mensasarkan untuk semua rakyat Malaysia, sinonim dengan konsep dan gagasan DAP iaitu ‘Malaysian Malaysia’.
Majoriti kaum Melayu dan Bumiputera, terutamanya di luar bandar, sama juga seperti kumpulan B40 di bandar, masih bergantung harap kepada subsidi barangan bagi mengurangkan beban kos kehidupan yang semakin meningkat.
Dalam hal ini, kebanyakan subsidi telah dirasionalisasi (dimansuhkan), namun harga barang makanan utama tetap meningkat. Harga susidi dalam bentuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) berjumlah RM100 dan subsidi Ron95 untuk 300 liter bersamaan RM18 hanyalah umpama dapat menarik nafas sekali tetapi diikuti dengan batuk berkali-kali.
Masih ramai belia anak tempatan, apatah lagi berstatus Melayu dan Bumiputera di luar bandar yang menganggur atau tidak mempunyai pekerjaan tetap. Ada yang sudah berumur 30 tahun ke atas, tetapi masih mencari pekerjaan yang sesuai, tetapi tiada yang dapat membantu dan membimbing ke arah penyelesaian.
Usaha kerajaan untuk mengurangkan kemasukan tenaga buruh dari luar sebanyak 10 peratus amat dialu-alukan.
Namun, apakah akan ada usaha untuk melatih anak-anak tempatan dalam bentuk Intensif Kapital (Capital Intensive) berbanding Intensif Buruh (Labour Intensive), agar mempunyai kemahiran teknologi untuk menjadikan mereka kompetitif dan berdaya maju di sektor perkilangan, perniagaan, pembuatan, pertanian, bank, pertahanan, perkhidmatan dan lainnya?
Keseluruhannya, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK atau Gross Domestic Products (GDP)) Malaysia untuk tahun 2026 dijangkakan sebanyak 4.6%.
Kadar ini, jika dibanding pertumbuhan penduduk 0.5% (34.2 juta) adalah mempunyai baki ruang keselesaan sebanyak (4.6% – 1.5% (0.5% x 3)) = + 3.1%.
Oleh yang demikian, pada tahun 2026, pihak kerajaan adalah digesa agar menghidupkan semula AMEB secara tersusun dan terancang agar kaum Melayu dan Bumiputera dapat bangkit menjadi penyumbang utama ke atas penjanaan ekonomi berteknologi tiinggi dan sebagai pembayar cukai serta menambah pendapatan hasil negara.
Sehubungan dengan itu, semua pusat pengajian tinggi termasuk TVET dan Pusat English Language perlu merangka dan mempunyai Blueprint ke atas usaha melatih kecekapan, minat, insentif dan dorongan kepada anak-anak remaja yang rata-rata masih ragu-ragu dan terpinga-pinga akan masa depan mereka.
Pihak PUTRA, dalam hal ini agak kesal kerana ada institusi pengajian tinggi yang semakin cenderong mengambil ramai pelajar-pelajar dari luar negara, terutamanya dari China, walaupun kompetensi mereka agak meragukan.
Pihak kerajaan perlu sensitif agar pusat-pusat pengajian tinggi yang sudah mantap dan ternama tidak tercelar kerana adanya sindiket atau kartel yang bertujuan mengaut wang ringgit semata-mata.
Dalam hal ini, kita ada tiga pilihan:
● mengekalkan status universiti awam yang ada dengan 80% pelajar untuk rakyat Malaysia dan 20% untuk pelajar luar negara di bawah anjuran kerajaan secara bilateral;
● menubuhkan universiti swasta khas untuk memberi peluang kepada lambakan pelajar-pelajar luar negara dari negara China dan lainnya sebanyak 60% secara pembiayaan sendiri dan swasta manakala 40% untuk anak tempatan secara pembiayaan sendiri dan swasta;
● menubuhkan universiti khas untuk menyusun dan memperkasa ekonomi Melayu dan Bumiputera, termasuk Bumiputera di Nusantara dan serata benua lainnya, dari kumpulan pelajar terpilih dari sekolah-sekolah khas dan berasrama penuh kerajaan atau seumpamanya dan mempunyai jalinan dengan universiti-universiti utama dan tersohor di dunia dengan kemasukan 80% pelajar Melayu dan Bumiputera dan 20% pelajar bukan Melayu.
Keseluruhannya, Bajet 2026 tidak ada kelainan dengan Agenda Baget Madani sejak tahun 2023 yang mana mempunyai elemen gula-gula dalam bentuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) berjumlah RM100 yang mana tidak vital untuk menaik taraf status kaum Melayu & Bumiputera yang sudah merdeka dari sekian lama dieksploitasi penjajah agar menjadi relavan dengan perkembangan dan kemajuan pesat ekonomi dunia.
Ayuh kaum Melayu dan Bumiputera, kita bangkit agar sosok kita jelas kelihatan berdiri sama tinggi, duduk sama rendah, beraksi sama padan, bergerak sama pantas dengan bangsa-bangsa termaju lainnya di persada dunia.
Dato’ Asmawar Samat adalah Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.