Mengenali Perdana Menteri Wanita Pertama Jepun Sanae Takaichi

Parti Demokratik Liberal (LDP) telah memerintah Jepun sejak 1955, kini menghadapi krisis dalaman di mana skandal rasuah melibatkan tokoh kanan parti dan kejatuhan populariti kerajaan akibat krisis kos sara hidup dan isu geo politik.

Untuk lima tahun terakhir ini, Jepun menghadapi ketidakstabilan hingga perlu menukar tiga perdana menteri iaitu Abe, Suga, Kishida dan kini Takaichi.

Apabila Fumio Kishida meletak jawatan pada Oktober 2025 selepas kehilangan sokongan dalam parti dan Parlimen, kerusi Presiden LDP secara automatik jawatan Perdana Menteri Jepun menjadi kosong.

Pemilihan kepimpinan LDP berlangsung pada pertengahan Oktober 2025 ini. Empat calon utama bertanding, termasuk beberapa tokoh lelaki berpengaruh, tetapi Sanae Takaichi menang mengejut hasil sokongan kuat daripada sayap kanan nasionalis LDP yang mahukan dasar lebih tegas terhadap China dan Korea Utara (geo politik).

Imej kepimpinan berdisiplin dan keras, yang menarik sokongan ahli akar umbi parti yang mahukan kestabilan selepas era Kishida.

Takaichi menang dalam pusingan kedua undian ahli Parlimen LDP dengan majoriti tipis tetapi mencukupi, menjadikannya presiden wanita pertama dalam sejarah LDP.

Latar Belakang

Takaichi, 64 tahun, mula menyertai politik Jepun pada 1990-an sebagai ahli Parti Demokratik Liberal (LDP) yang telah lama memerintah. Beliau dilahirkan di wilayah Nara di tengah Jepun dan merupakan graduan Universiti Kobe.

Takaichi paling dikenali sebagai anak didik bekas Perdana Menteri Shinzo Abe. Beliau berkhidmat dalam beberapa kabinet Abe serta dalam kabinet bekas Perdana Menteri Fumio Kishida.

Takaichi sering digelar media sebagai “Wanita Besi Jepun” kerana pendiriannya yang konservatif.

Beliau bersikap tegas dan menyokong dasar ekonomi mirip “Abenomics”, strategi gabungan peluasan fiskal, pelonggaran monetari, dan pembaharuan struktur.

Dari segi sosial, Takaichi menentang perkahwinan sejenis, mengambil pendirian tegas terhadap imigresen, dan percaya sistem pewarisan takhta Maharaja harus terus mengutamakan lelaki.

Berdasarkan pandangan beberapa diplomat asing, Beijing tidak begitu menyukai Takaichi kerana dilihat lebih mesra dengan Taiwan.

Apakah makna kemenangan Takaichi bagi Jepun?

Barat menganggap, kemenangan Takaichi dalam persaingan jawatan PM, menandakan Jepun akan terus berada di landasan konservatif dengan anjakan lebih ke kanan.

Namun, kata Profesor Stephen Nagy dari Universiti Kristian Antarabangsa Jepun, konservatisme Jepun berbeza dengan versi Barat.

Walaupun Takaichi mahu memperkukuh pertahanan dan mengehadkan imigresen, beliau tidak akan mengubah sistem kebajikan sosial negara itu.

“Konservatif di Jepun bermakna tegas dalam keselamatan, tegas terhadap China, mengekalkan hubungan kuat AS–Jepun, dan melindungi sistem kekaisaran,” kata Stephen kepada Al Jazeera.

Beliau menambah bahawa Jepun akan menyaksikan LDP baharu yang konservatif, tetapi dalam pengertian konservatif mengikut tafsiran Jepun.

Cabaran sebagai PM

Ramai berpendapat Takaichi akan berdepan cabaran besar apabila mewarisi kuasa daripada kedudukan politik yang agak lemah kerana LDP sedang kehilangan majoriti di kedua-dua dewan Parlimen dalam dua tahun kebelakangan ini.

Gabungan jangka panjangnya dengan parti sayap kanan Sanseito juga runtuh sejurus selepas Takaichi dipilih sebagai ketua LDP pada Oktober, akibat pertikaian derma kempen dan langkah antirasuah.

Namun, LDP berjaya membentuk pakatan baharu dengan Parti Inovasi Jepun, satu lagi parti konservatif, sekali gus memperoleh cukup kerusi bagi memastikan kemenangan Takaichi minggu ini.

Sebagai perdana menteri, Takaichi perlu menangani pelbagai isu termasuk krisis kos sara hidup, kesan perang perdagangan Presiden AS Donald Trump, serta kebimbangan keselamatan jangka panjang terhadap China dan Korea Utara.

LDP juga masih bergelut dengan skandal rasuah besar yang menggugat imejnya.

Pakar berpendapat, Takaichi perlu melembutkan imej tegasnya jika mahu kekal berkuasa atau berisiko berdepan undi tidak percaya daripada Parlimen dalam masa terdekat. @sumber

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share