Reformasi Tersungkur Di Pintu Kuasa

Oleh : Za’aba Ibrahim

Ada satu masa dahulu ketika Anwar Ibrahim berdiri di atas pentas ceramah, mengangkat tangan ke langit sambil melaungkan “lawan tetap lawan!”, “Hari ini kita menang, esok minyak turun!” dan kita semua percaya.

Hari ini, selepas dua tahun menjadi Perdana Menteri, kepercayaan itu tidak mati, tapi dibunuh perlahan-lahan, oleh lelaki yang pernah melaungkannya.

Mari kita bercakap terus terang: di manakah reformasi yang dijanjikan?

Had penggal Perdana Menteri? Masih dalam “kajian”. SPRM bebas dari PMO? Sunyi sepi. Akauntabiliti terhadap pelantikan politik ke GLC? Tak berubah malah anggap tak salah.

Reformasi Anwar kini ibarat jenaka gelap: dijanjikan dengan megah, kemudian dibiarkan dengan retorik baru – perlu masa – perlu sokongan, dan akhirnya dikambinghitamkan kepada “sokongan dua pertiga” yang tak pernah serius dikejar.

Subsidi ditarik balik, harga naik, cukai ditambah — semuanya atas nama “tanggungjawab fiskal”. Tapi siapa yang menanggung perit? Rakyat biasa. Penoreh getah di Sik, ibu tunggal di Puchong, pemandu e-hailing di Kota Bharu.

Sementara itu, ahli politik terus hidup mewah, elaun tidak dipotong, kereta rasmi berganti, dan GLC dipenuhi rakan-rakan politik. “Perubahan” hanya berlaku dalam slogan, bukan dalam sistem.

Reformasi sebenar memerlukan keberanian untuk melawan sistem. Apa yang kita lihat hari ini ialah seorang reformis yang akhirnya tunduk kepada sistem yang pernah dia bangkangnya.

Mungkin Anwar tidak sedar — atau mungkin beliau sedar, tetapi memilih jalan selamat. Jalan kompromi. Jalan kuasa.

Inilah ironi paling pahit: Lelaki yang ditindas kerana melawan sistem, kini menjadi penjaga sistem itu. Penulis ucapan beliau masih menyelitkan bait-bait reformasi, tetapi rakyat sudah dapat membaca di antara baris: kata-kata itu kosong.

Apakah reformasi hanya relevan ketika Anwar di luar Putrajaya dan mati saat beliau melangkah masuk ke tampuk kuasa? Atau mungkinkah, seperti semua tokoh besar, beliau terperangkap dalam dendam sejarah yang memaksanya mengulangi kesilapan mereka yang dahulu?

Rakyat tidak marah kerana perubahan lambat. Rakyat marah kerana harapan mereka dijadikan alat, kemudian dikhianati dengan senyuman.

Reformasi kini tersungkur di pintu kuasa.

Za’aba Ibrahim – pengkritik politik

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts

Menangani Kekeliruan Dalam Berpolitik (Bhg 2)

Ada pemimpin enggan melepaskan jawatannya kerana bimbang organisasi yang ditinggalnya berpecah. Ia berpecah sekiranya wujud dua kumpulan yang sama kuat. Tetapi, kalau jelas cuma ada satu pihak yang kuat, contohnya, yang dipilih tanpa bertanding, maka, andaian berpecah itu tersasar.
Read More
Total
0
Share