Takiyuddin Dakwa APMM Jalankan Latihan Komando Dalam Masjid, Desak Penjelasan KDN

KUALA LUMPUR, 22 Okt 25 — Ahli Parlimen PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, hari ini meminta penjelasan segera daripada Kementerian Dalam Negeri berhubung satu insiden yang didakwa melibatkan latihan komando Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di sebuah masjid di Rusila, Marang, Terengganu.

Dalam pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, Takiyuddin berkata beliau menerima aduan, dokumen dan rakaman CCTV yang menunjukkan sekumpulan antara 10 hingga 15 individu menaiki lima kenderaan memasuki kawasan masjid sekitar jam 10 pagi.

Menurutnya, kelompok itu didakwa melakukan penggeledahan dan memasuki kawasan solat wanita, menyebabkan rasa kurang senang dalam kalangan jemaah.

“Apabila ditegur, mereka menjawab kami polis, masuk dalam masjid pakai kasut… dan mengadakan penggeledahan.” kata Takiyuddin semasa sesi perbahasan.

Beliau turut memaklumkan wujud dokumen bertajuk ‘Pemakluman Latihan Pelarian dan Pelolosan SERE Kursus Asas Komando Star Team Seri 1-2025’ yang didakwa dikeluarkan oleh APMM dan ditujukan kepada pihak tertentu.

Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung PAS menyoal apakah prosedur operasi standard (SOP) membenarkan latihan seumpama itu di tempat ibadat tanpa pengetahuan pihak pengurusan masjid, serta menggesa Menteri Dalam Negeri menjelaskan garis panduan bagi latihan pasukan penguatkuasaan, khususnya pasukan komando.

Beliau juga meluahkan kebimbangan bahawa tindakan sedemikian menimbulkan fear factor dalam kalangan rakyat dan menimbulkan persoalan kenapa latihan itu dilaksanakan oleh agensi maritim di darat, bukannya di laut.

“Nama lagi APMM, penguatkuasa maritim — apa keceritaan pergi buat serbuan dan latihan atas darat, buatlah dekat laut,” tegasnya.

YB Takiyuddin menambah bahawa beliau bertanggungjawab atas kenyataan yang dibuat di Dewan dan menuntut penjelasan jelas sama ada insiden itu merupakan latihan rasmi dan siapa memberi arahan pelaksanaannya.

Beliau juga memberi amaran bahawa jika latihan sebegitu membabitkan elemen yang mengancam keselamatan, ia wajar diberi perhatian serius oleh kerajaan.

Setakat ini pihak APMM dan Kementerian Dalam Negeri belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai dakwaan tersebut. Takiyuddin meminta agar jawapan rasmi dibentangkan di Dewan bagi menenangkan keresahan masyarakat dan memastikan tiada pelanggaran terhadap kebebasan beribadat dan prosedur penguatkuasaan. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share