Kereta Mencurigakan Parkir Di Pagar Kediaman Presiden PAS – Takiyuddin

KUALA LUMPUR, 23 Okt 25 — Takiyuddin Hassan, Setiausaha Agung PAS dan Ahli Parlimen Kota Bharu, hari ini menuntut penjelasan segera daripada Kementerian Dalam Negeri Malaysia (KDN) berhubung satu insiden kereta dan individu mencurigakan yang dikesan berhampiran kompleks masjid dan kediaman Abdul Hadi Awang, Presiden PAS dan Ahli Parlimen Marang.

Menurut Takiyuddin, kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan tersebut pada 19 September 2025 menunjukkan tindakan luar biasa termasuk kemasukan ke ruang solat wanita, pergerakan beberapa lelaki berpakaian biasa serta sebuah kereta perak yang diletakkan di tepi pagar kediaman Hadi Awang yang bersebelahan dengan Masjid Rusila.

“Ini termasuk pelbagai andaian terhadap aspek keselamatan YB Ahli Parlimen Marang, keluarga dan masyarakat setempat,” katanya dalam sidang media di Dewan Rakyat hari ini.

Takiyuddin menyatakan bahawa pengurusan masjid telah membuat laporan polis dan menyerahkan rakaman CCTV tersebut, namun dakwa beliau, tiada permohonan rasmi sebelum aktiviti tersebut dijalankan.

Beliau turut mempertikaikan penjelasan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bahawa kehadiran pelatih di masjid tersebut adalah untuk solat dan berehat, dan bukan latihan dengan menegaskan rakaman CCTV tidak selari dengan gambaran yang diberikan.

“Gambar sekumpulan lelaki berjubah putih yang dikongsikan kepada media, kononnya pelatih membaca al-Quran sama sekali tidak bersamaan dengan rakaman CCTV di masjid pada tarikh dan masa yang dinyatakan.”

Dalam pada itu, beliau menegaskan penduduk setempat mengesahkan tiada sebarang latihan air dijalankan di laut atau pesisir pantai Kampung Rusila pada tarikh kejadian.

Dalam satu kenyataan berasingan, pengurusan Masjid Rusila di Marang menafikan pernah menerima sebarang permohonan atau memberikan kebenaran kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) untuk mengadakan latihan di kawasan masjid tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Masjid Rusila, Mohd Azri Abdul Aziz, berkata pihaknya tidak pernah menerima apa-apa makluman, sama ada secara bertulis atau lisan, mengenai kehadiran pasukan Maritim di masjid berkenaan pada 19 September lalu.

Kenyataan tersebut secara tidak langsung menolak kenyataan Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Rosli Abdullah yang berkata pihak masjid telah dimaklumkan lebih awal mengenai kehadiran pelatih dan tiada sebarang gangguan terhadap jemaah mahupun aktiviti keagamaan berlaku. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share