
KUALA LUMPUR, 25 Ogos 25 – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Alor Setar yang mendapati beliau memfitnah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Menurut Saifuddin terdapat asas undang-undang yang kukuh untuk beliau mengemukakan rayuan setelah meneliti keputusan tersebut bersama pasukan peguamnya.
“Segala kenyataan yang saya keluarkan sebelum ini berasaskan kepada tanggungjawab saya dalam menyuarakan isu-isu berkepentingan awam.
“Saya telah arahkan peguamcara saya untuk segera memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.
“Saya juga akan mohon penangguhan pelaksanaan keputusan berkenaan sementara menunggu proses rayuan selesai,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Mahkamah Tinggi Alor Setar sebelum ini memutuskan Saifuddin bersalah memfitnah Sanusi pada 2023.
Dalam keputusannya, hakim memaklumkan mahkamah membenarkan tuntutan Sanusi selaku plaintif secara khusus ke atas kenyataan REE dan MARRIS yang dikeluarkan Saifuddin selaku defendan
Mahkamah turut menetapkan defendan membuat permohonan maaf secara terbuka dan diterbitkan dalam sebuah akhbar bahasa Melayu dan sebuah akhbar bahasa Inggeris dalam tempoh 14 hari dan perlu dimuat naik di akhbar utama dan mendapat kelulusan daripada Sanusi terlebih dahulu.
Selain itu, mahkamah turut mengekalkan perintah injuksi melarang defendan atau ejennya mengulang kenyataan berkaitan dakwaan mencuri REE dan penyelewengan wang peruntukan MARRIS pada masa akan datang, berkuat kuasa serta merta.
Sanusi memfailkan saman tersebut pada 3 Ogos 2023 mendakwa Saifuddin memfitnahnya mencuri REE di Kedah dan menyeleweng peruntukkan MARRIS.
Menurut Saifuddin beliau menghormati keputusan mahkamah dan merakamkan penghargaan kepada pihak mahkamah atas perhatian, masa dan pertimbangan yang telah diberikan sepanjang prosiding berlangsung.
“Saya akan terus berpegang pada prinsip keterbukaan, integriti dan kebertanggungjawaban sebagai asas penting dalam amalan demokrasi,” kata Saifuddin dalam kenyataannya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.