
KUALA LUMPUR, 23 Okt 25 – Polis mengesahkan sedang berusaha mendapatkan bantuan negara terlibat bagi menahan menantu bekas perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menghadapi pertuduhan pecah amanah.
Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, berkata waran tangkap terhadap lelaki berkenaan, yang juga seorang ahli perniagaan telah dikeluarkan dan tindakan yang sedang dilakukan ketika ini memerlukan bantuan daripada negara berkaitan.
“Insya-Allah kami akan cuba yang terbaik untuk menyelesaikan masalah ini.
“Setakat ini, kami tidak terima sebarang maklumat daripada Interpol. Mungkin SPRM boleh jawab persoalan itu,” katanya.
Media hari ini melaporkan ahli perniagaan yang telah melarikan diri sejak lebih dua tahun itu kini menjalani kehidupan mewah di sebuah negara di Asia Barat.
Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan, dikehendaki oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menghadapi pertuduhan pecah amanah di negara ini.
NST melaporkan Adlan kerap keluar masuk negara berkenaan untuk perjalanan ke luar negara, termasuk ke Thailand bagi bermain golf dan mengunjungi lapang sasar menembak.
Beberapa gambar yang dikongsi kepada sebuah akhbar tempatan turut menunjukkan beliau bersama beberapa kenamaan dari Asia Barat. @sumber
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.