
KUALA LUMPUR, 8 Jul 25 – Bekas setiausaha politik Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat laporan polis terhadap perdana menteri itu hari ini bagi menggesa siasatan segera dilakukan membabitkan isu pelantikan ketua hakim negara yang tergendala.
Ezam mendakwa, dengan Anwar mempunyai kes di mahkamah, ada alasan untuk pihaknya membuat laporan polis tersebut.
“Kita buat laporan polis ini untuk polis siasat, buka kertas siasatan, dan menahan tangkap perdana menteri serta merta sebab ia membabitkan institusi besar, institusi hakim negara , membabitkan perdana menteri.
“Kita rasa ada ‘sense of urgency’ ada kes perdana menteri di mahkamah yang belum dibicarakan jadi kita punya alasan, bukan nak tuduh, ada alasan nak tuduh penyalahgunaan kuasa perdana menteri dengan kes beliau,” katanya, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini.
Tambahnya, sidang media bekas menteri ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli awal hari ini juga mengukuhkan dakwaan campur tangan beliau dalam pelantikan ketua hakim negara.
“Atas alasan itu ianya satu perkara yang amat serius dan kita percaya banyak klausa disebut Rafizi beri gambaran jelas perdana menteri telah lakukan salah guna kuasa sebagai perdana menteri dalam pelantikan ketua hakim,” dakwa Ezam.
Turut sama ketika laporan polis dibuat, Pengerusi Ummah Malaysia, Mohd Zai Mustafa yang turut mengulas bahawa pendedahan yang dibuat oleh Rafizi Ramli adalah sesuatu yang serius.
“Perbuatan ini sangat serius dan merbahaya kepada tiga cabang utama pembahagian kuasa yang diperuntukkan oleh perlembagaan persekutuan.
“Jika berlaku campurtangan dan gangguan kepada cabang utama ini ia akan melemahkan sistem semak dan imbang kepada pentadbiran negara. Ujarnya.
Terdahulu, Rafizi bersama beberapa ahli Parlimen PKR menuntut satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan berhubung pelantikan hakim.
Mereka mendakwa, pencalonan bagi beberapa jawatan hakim itu sudah dihantar oleh Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) kepada kerajaan sebelum ini namun tidak diambil tindakan sewajarnya.
Dakwanya, mesyuarat JAC yang dipanggil pada Jumaat lalu tanpa mematuhi keperluan notis 10 hari, dengan tujuan membuat pencalonan semula bagi jawatan-jawatan yang kosong. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.