
KUALA LUMPUR, 24 Okt 25 – Ketua Penerangan Pejuang Rafique Rashid berkata Malaysia sedang mencalarkan imej negara ketika menerima kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump.
Seperti mana Malaysia tidak akan mengiktiraf Israel, Rafique menegaskan tidak seharusnya sanjungan diberikan kepada pendukung genosid di Gaza tersebut.
“Malaysia merdeka dan ada undang-undang, sentiasa akan anti perang, sentiasa jaga hak negara lain tuntut merdeka.
“Malaysia tidak akan iktiraf negara haram Israel dan tidak akan sokong penjenayah perang, tidak akan sokong penaja genosid,” katanya.
Peguam itu merujuk kenyataan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, yang menasihatkan agar himpunan anti Trump tidak diadakan ketika Sidang Kemuncak Asean ke-47 bagi menjaga imej negara dan keselamatan delegasi antarabangsa.
Tempoh itu katanya bukan masa sesuai untuk sebarang perhimpunan kerana semua keutamaan ditumpukan kepada aspek keselamatan dan protokol negara.
“Hari ini ketua polis negara minta jaga imej negara, katanya jangan buat demo anti Trump
“Malaysia tidak akan setuju dengan kuasa veto PBB, itu imej Malaysia, ” kata Rafique dalam hantaran Facebook.
Sambutan besar-besaran terhadap Trump juga katanya mencalar imej negara.
“Beri karpet merah pada Trump akan calar Malaysia. Di Amerika sendiri Trump ditentang. Malaysia pula mahu tunduk layu layan Trump?
“Nasihat pada KPN, Perlembagaan Persekutuan dan hak rakyat jauh lebih tinggi dan mulia dari Trump, ” jelas Rafique. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.