“Apabila Al-Quran Dipijak, Diam Bukanlah Satu Pilihan” — Titah Tegas Sultan Pahang

Foto – facebook kesultanan Pahang

MARAN | 4 Mac 26 — Kebawah Duli Paduka Baginda Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Sultan Pahang, melahirkan kemurkaan dan kesal terhadap insiden seorang mahasiswa dipercayai memijak naskhah Al-Quran, menyifatkan perbuatan itu sebagai penghinaan serius yang menggugat keharmonian masyarakat.

Dalam titah Baginda, ketika berkenan pada majlis pemasyhuran Masjid Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di Felda Jengka 19, Baginda menegaskan bahawa diam bukanlah satu pilihan apabila kesucian Al-Quran dicemari — kerana ini bukan sekadar kertas terjejas tetapi maruah umat Islam tercabar.

“Berdiam diri ketika agama dihina adalah tanda jiwa yang lemah dan pudarnya maruah,” titah Baginda sambil menekankan bahawa mempertahankan kesucian agama mestilah dilakukan dengan tegas, namun berlandaskan undang-undang dan keadilan, bukan dengan tindak balas emosional yang mengancam keamanan. Titah baginda seperti dilaporkan media sultanpahang.my.

Baginda turut mengutip kata tokoh ulama Buya Hamka bahawa jika seseorang berdiam ketika agamanya dihina, ia seolah-olah “mengganti pakaian dengan kain kapan”, bukan seruan kepada keganasan, tetapi peringatan moral untuk mempertahankan maruah agama dengan penuh tanggungjawab.

Dalam titahnya, Sultan Pahang turut menegaskan kebebasan bersuara bukanlah alasan untuk menghina agama, dan setiap rakyat negara ini tidak mengira agama, wajib saling menghormati kitab suci serta kepercayaan lain demi memastikan keamanan serta muhibah terus terpelihara.

Baginda menekankan bahawa mempertahankan agama Islam bukanlah menafikan hak penganut lain untuk mengamalkan kepercayaan mereka dalam suasana aman dan harmoni, dan menyeru semua rakyat Pahang kembali kepada penghayatan Al-Quran dalam kehidupan seharian. @sumber

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share