
KUALA LUMPUR | 29 Apr 26 — Krisis politik yang sedang memuncak di Negeri Sembilan dilihat semakin mengukuhkan tanggapan bahawa landskap politik negara kini memasuki fasa tidak menentu, malah disifatkan sebagai “zaman edan” seperti pernah diungkapkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Wartawan veteran, Datuk A. Kadir Jasin menyifatkan perkembangan terkini di negeri itu sebagai antara contoh jelas tindakan politik yang “tidak masuk akal”, apabila Barisan Nasional (BN) dilaporkan menarik sokongan terhadap Menteri Besar daripada Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Aminuddin Harun.
Menurut beliau, situasi ini menimbulkan persoalan besar memandangkan kerjasama BN-PH sebelum ini dilihat memberikan pelbagai kelebihan kepada kedua-dua pihak, khususnya kepada kepimpinan UMNO dalam kerajaan Persekutuan.
“Tidak masuk akal BN tiba-tiba tarik balik sokongan setelah diberikan pelbagai habuan oleh Kerajaan Madani,” katanya, sambil membandingkan tindakan itu dengan episod kejatuhan kerajaan terdahulu pada 2021.
Beliau turut membangkitkan kemungkinan bahawa perkembangan di Negeri Sembilan ini merupakan petanda awal kepada perpecahan lebih besar antara BN dan PH, sekali gus membuka ruang kepada penjajaran semula politik termasuk potensi kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).
Dalam masa sama, penangguhan sidang Dewan Undangan Negeri tanpa perbahasan menimbulkan kebimbangan terhadap kelangsungan proses demokrasi di negeri berkenaan.
Sementara itu, kedudukan Yan Di Pertuan Besar juga masih menimbulkan tandatanya yang boleh mengundang ketidakstabilan kerajaan secara keseluruhan.
Situasi ini juga dijangka memberi tekanan kepada kepimpinan pusat, dengan persoalan sama ada krisis di peringkat negeri akan memberi kesan langsung kepada kestabilan Kerajaan Persekutuan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.