Antara Hak Berbahas Dan Hormat Institusi

“Berpolitik biarlah berpada-pada. Terlebih kata, membawa rosak binasa” itu pesan orang tua-tua.  Tidak semua perkara yang boleh disebut wajar diucapkan tanpa timbang rasa. Ada beza antara kebebasan bersuara dengan kebijaksanaan bersuara. Ada beza antara hak berhujah dengan kewajipan menghormati institusi.

Justeru, polemik berhubung cadangan isu penternakan babi di Selangor menjadi sensitif apabila ia dilihat bertembung dengan titah Sultan Selangor serta sentimen majoriti masyarakat Islam di negeri tersebut.  Bak kata peribahasa, “terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya”.

Isu Sebenar: Pentadbiran, Bukan Sekadar Politik

Pertama sekali, perbahasan tentang penternakan babi bukan isu kecil. Ia melibatkan beberapa dimensi besar; guna tanah negeri, alam sekitar, kesihatan awam, sensitiviti agama, keseimbangan ekonomi dan dasar kerajaan negeri

Maka apabila ada wakil rakyat mencadangkan penternakan moden atau berteknologi tinggi, hujah itu perlu dinilai dalam konteks dasar menyeluruh – bukan sekadar slogan “hak sama rata” atau peralatkan “anti pembangunan”.

Dalam pentadbiran moden, setiap sektor ekonomi mesti dinilai melalui analisis kos dan manfaat.  Peter Drucker menekankan bahawa keputusan pengurusan yang baik bukan dibuat atas emosi, tetapi atas impak jangka panjang.

Sejarah Hitam Wajar Diingati

Mereka yang membangkitkan kebimbangan kesihatan awam mempunyai asas sejarah. Malaysia pernah melalui episod tragis wabak Virus Nipah pada 1998–1999 yang dikaitkan dengan industri ternakan babi, terutama di Negeri Sembilan dan Perak. Krisis itu menyebabkan ratusan kes jangkitan manusia dan lebih 100 kematian, di samping pelupusan besar-besaran ternakan.

Sewaktu Virus Nipah bermaharajalela, di mana ADUN DAP? Adakah mereka turut turun padang bersama-sama membantu pihak berkuasa?  Paling tidak tunjukkan muka bahawa mereka ambil tahu dan simpati dengan musibah menimpa rakyat berbilang kaum.

Itu fakta sejarah yang tidak boleh dipadam. Pengajaran utamanya bukan “semua penternakan mesti ditolak”, tetapi bahawa biosekuriti, kawalan penyakit dan lokasi industri mesti ditangani secara serius.  Seperti kata George Santayana, Those who cannot remember the past are condemned to repeat it”.

Hormat Institusi Raja Berperlembagaan

Malaysia ialah negara demokrasi Raja Berperlembagaan. Ini bermaksud demokrasi berjalan bersama institusi raja, bukan menentangnya. Dalam konteks negeri-negeri Melayu, Sultan mempunyai kedudukan penting terutama dalam hal ehwal agama Islam serta adat Melayu, di samping fungsi perlembagaan tertentu mengikut undang-undang negeri.

Justeru, apabila sesuatu isu menyentuh sensitiviti masyarakat Islam dan mendapat perhatian istana, bahasa yang digunakan oleh mana-mana pihak perlu lebih cermat. Tidak semestinya semua pandangan berbeza itu salah, tetapi cara menyampaikannya mesti menjaga adab kenegaraan.

Edmund Burke pernah mengingatkan bahawa institusi yang dihormati memberi kestabilan kepada negara. Bila rasa hormat runtuh, politik mudah menjadi gelanggang bising tanpa arah.

Hak Berbahas Ada Batasnya

Ada yang berhujah bahawa Dewan Negeri ialah tempat wakil rakyat membawa suara rakyat. Itu benar. Tetapi hak berbahas bukan lesen mengabaikan konteks sosial.

Soalnya: rakyat yang mana? Adakah tuntutan itu datang melalui data, petisyen, kajian ekonomi, atau hanya pandangan kelompok tertentu? Dalam demokrasi, dakwaan mewakili rakyat sepatutnya disokong angka, bukan andaian.

Jangan sesekali membangkitkan sentimen sesuatu kaum – jauh sekalai cuba mewakili mana-mana kelompok ahli perniagaan terutamanya kartel-kartel ternakan yang juga ahli perniagaan.

Jika mahu membawa isu besar seperti industri sensitif, bentangkan; jumlah permintaan pasaran, keperluan ekonomi sebenar, kesan kepada pekerjaan, lokasi sesuai, mitigasi alam sekitar, penerimaan komuniti setempat. Seperti umum tahu, najis babi teramatlah busuk dan tidak mudah larut di dalam air.

Maka, pencemaran air memang berlaku selama ini dan kawasan tadahan air amat terhad di negeri Selangor – lantaran sumber sungai juga digunakan dan disuling semula untuk kegunaan awam. Ingatlah, tanpa data, hujah tinggal retorik.

Majoriti, Minoriti dan Keadilan

Masyarakat majmuk menuntut kebijaksanaan mengimbangi hak semua pihak. Keadilan bukan bermaksud semua perkara mesti sama dalam semua keadaan. Ada isu yang perlu melihat demografi setempat, sejarah, sensitiviti agama dan kestabilan sosial.

Ahli falsafah John Rawls dalam ‘A Theory of Justice’ menekankan keadilan memerlukan aturan yang munasabah untuk semua, bukan formula mekanikal “semua mesti serupa”.  Dalam erti kata lain, kesamarataan tidak sama dengan keseragaman mutlak.

Isu Lebih Mendesak Untuk Selangor?

Ini juga persoalan penting. Dalam keadaan rakyat berdepan kos sara hidup, banjir kilat, kesesakan lalu lintas, rumah mampu milik dan peluang pekerjaan, adakah isu penternakan babi antara keutamaan tertinggi negeri?

Politik yang matang tahu memilih medan perjuangan. Jika rakyat sedang menunggu solusi terhadap masalah harian, perbahasan yang tidak menyentuh keperluan majoriti mudah dilihat tersasar.  Bak kata bidalan, “yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran”.

Jika Benar Mahu Cadang Dasar

Jika benar ada cadangan industri moden, jalannya bukan polemik terbuka semata-mata. Sebaliknya, sediakan kertas dasar lengkap, jalankan libat urus awam, rujuk agensi kesihatan dan alam sekitar, hormati pandangan istana dan kerajaan negeri. Cari titik seimbang antara ekonomi dan sensitiviti.  Inilah pendekatan bernegara.

Politik Perlu Hikmah, Bukan Hanya Suara

Isu ini memberi pengajaran besar bahawa dalam demokrasi, tidak semua yang sah dari segi prosedur itu bijak dari segi politik. Wakil rakyat boleh bercakap, tetapi rakyat juga berhak menilai.  Dewan boleh berbahas, tetapi adab tetap mesti dijaga.

Selangor sebagai negeri maju memerlukan kepimpinan yang faham bahawa pembangunan bukan sekadar teknologi, tetapi juga keharmonian sosial.  Institusi raja pula bukan halangan demokrasi, sebaliknya salah satu tiang kestabilan negara – membantu mengimbangi dan mengharmoni kehidupan rakyat pelbagai kaum dalam anutan beragama.

Akhirnya, dalam politik, siapa paling lantang belum tentu paling benar. Kadang-kadang yang paling bijak ialah yang tahu bila perlu bercakap, dan bila perlu mendengar.

Oleh: Ramlee Wahab, Sri Gading

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts

Rumah Bangsa Retorik Politik UMNO

Sebagai bekas ahli UMNO, saya secara peribadi tidak berminat untuk kembali menyertai parti tersebut. Hal ini kerana prinsip “No PKR” dan “No DAP” yang pernah diputuskan sebelum ini tidak dilaksanakan secara konsisten. Justeru, agenda Rumah Bangsa pada ketika ini kelihatan lebih menyerupai retorik politik semata-mata.
Read More
Total
0
Share