PN Mahu Usul Sidang Tergempar Dewan Rakyat Bincang Usul Perjanjian Perdagangan MAS-AS

KUALA LUMPUR, 28 OKT 25 — Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengemukakan usul agar Dewan Rakyat mengadakan sidang tergempar bagi membincangkan perjanjian perdagangan timbal balik yang dimuktamadkan antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) Ahad lalu.

Dakwanya, perjanjian dimeterai semasa kunjungan Presiden AS Donald Trump ke Malaysia itu penting kerana ia melibatkan kedaulatan dan kepentingan dasar luar negara.

“Saya telah hantar satu usul mendesak Dewan Rakyat mengadakan sidang tergempar bagi membincangkan perjanjian perdagangan timbal balas Malaysia – AS supaya ia memelihara kedaulatan dan kepentingan dasar luar malaysia.

“Kalau kerajaan tak telus dan enggan membenarkan perbahasan, kami akan himpunkan puluhan ribu rakyat untuk ‘turun Anwar’ sekali lagi,” katanya ketika sidang media di Parlimen hari ini.

Wan Fayhsal mendakwa perjanjian itu menyaksikan Malaysia menyerah diri kepada AS kerana banyak perkara dalam dokumen perjanjian berkenaan akan merugikan negara.

“Ini (dokumen) ada syaitan dan iblis puaka dalam perjanjian ini, nak kena rukyah dulu baru nampak apa yang tak betul. Tapi nak rukyah macam mana kalau tak ada perbahasan dalam Parlimen,” katanya.

Terdahulu, sewaktu lawatan Presiden Donald Trump, satu perjanjian perdagangan terbaru antara Malaysia dan Amerika Syarikat dimeterai dimana syarikat berkaitan kerajaan (GLC) utama tempatan termasuk Malaysia Aviation Group (MAG), Petronas, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Telekom Malaysia diminta untuk membuat pembelian besar-besaran dari Amerika Syarikat sebagai sebahagian daripada komitmen yang dipersetujui. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share