Sudah Sampai Kemuncak Karier, Muhyiddin Wajar Berundur Secara Bermaruah — Pensyarah

KUALA LUMPUR, 31 Okt 25 — Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Malike Brahim, berpendapat bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin seharusnya berundur secara terhormat daripada kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), selepas mencapai kemuncak karier politiknya sebagai Perdana Menteri Malaysia pada 2020 hingga 2021.

Menurut Dr Malike, perkembangan terbaru dalam parti menunjukkan bahawa kedudukan Muhyiddin semakin dipersoalkan, khususnya apabila timbul dakwaan beliau meminta perkenan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memecat Datuk Seri Hamzah Zainudin.

“Jika benar Tan Sri Muhyiddin meminta perkenan Tun M untuk memecat Hamzah, ia tidak wajar kerana Tun M tidak memegang apa-apa posisi rasmi dalam Bersatu mahupun Perikatan Nasional (PN),” katanya ketika diminta mengulas isu kemelut kepimpinan dalam parti itu.

Beliau turut menambah, langkah melibatkan Tun Mahathir dalam urusan dalaman parti hanya mengundang persepsi negatif, malah boleh menjejaskan imej Muhyiddin sendiri.

“Saya mengesyaki, jika perkara itu benar berlaku sekalipun, Tun M tidak akan bersetuju dengan Muhyiddin. Desas-desus mengatakan Tun M sendiri menasihatkan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, untuk mencalonkan Hamzah sebagai calon Perdana Menteri bagi PN — bukannya Muhyiddin,” jelasnya.

Menurut Dr Malike, keputusan tersebut dipercayai dibuat atas pertimbangan politik, memandangkan Muhyiddin kini berdepan kes mahkamah dan imej beliau terjejas oleh dakwaan melibatkan menantunya.

Beliau turut mengingatkan bahawa masa dan kitaran kepimpinan politik adalah lumrah, dan Muhyiddin wajar mencontohi langkahnya sendiri ketika menekan Tun Abdullah Ahmad Badawi untuk berundur suatu ketika dahulu.

“Muhyiddin perlu ingat bagaimana beliau sendiri dulu mendesak arwah Pak Lah untuk bersara. Maka apabila tiba masanya seseorang pemimpin berundur, buatlah dengan penuh bermaruah,” katanya.

Dr Malike menegaskan bahawa tiada apa lagi yang perlu dikejar oleh Muhyiddin dalam arena politik, dan kini merupakan masa terbaik untuk memberi laluan kepada generasi muda dalam Bersatu untuk meneruskan perjuangan parti.

“Beliau sudah mencapai kemuncak kariernya sebagai Perdana Menteri. Sudah tiba masanya memberi ruang kepada barisan kepimpinan baharu untuk membawa nafas segar dalam perjuangan parti,” ujarnya.

Baru-baru ini, dalam satu ceramah siri jelajah Semarak Bersatu, Ketua Bahagian Ipoh Timur yang dipecat, mendakwan bahawa Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin mendapatkan nasihat daripada bekas Penasihat Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memecat Timbalan Presiden Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Ketua Bahagian Bersatu Ipoh Timur  yang dipecat Mohd Fadhli Ismail mendakwa pertemuan itu turut dihadiri Setiausaha Agung Datuk Seri Azmin Ali dan Naib Presiden Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.


Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share